Koronavirus: AFC mungkin ubah jadual ACL

No Image Caption
A
A
A

KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) akan mengadakan satu mesyuarat tergempar pada Selasa ini untuk membincangkan kemungkinan menjadualkan semula perlawanan kelab-kelab terbaik di benua ini dalam kejohanan Liga Juara-Juara AFC (ACL) berikutan wabak koronavirus.

Perlawanan peringkat kumpulan Zon-Timur dijadualkan pada 11 dan 12 Februari ini tetapi kekangan perjalanan dan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap virus maut itu boleh memaksa badan pentadbir bola sepak Asia itu mengambil beberapa langkah antaranya menunda tarikh perlawanan.

Mesyuarat dijadualkan di ibu pejabat AFC di sini akan melibatkan keseluruhan pemegang kepentingan persatuan-persatuan ahli, liga, kelab dan agensi komersial yang menyertai pertandingan kelab-kelab terbaik Asia itu.

“Mesyuarat itu akan membincangkan kesan kekangan perjalanan yang dilaksanakan pelbagai kerajaan berikutan penularan wabak koronavirus dan langkah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengisytiharkan wabak itu sebagai satu darurat kesihatan awam.

"Selaku badan pentadbir bola sepak di Asia, AFC komited untuk menjaga pertandingan ini dan membuat perancangan wajar dan sesuai tetapi tidak terhad kepada penjadualan semula perlawanan di Zon Timur,” kata AFC dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Persekutuan Bola Sepak Australia memaklumkan AFC bahawa jadual perlawanan peringkat kumpulan pertama di Perth dan Sydney tidak boleh dilaksanakan kerana kekangan perjalanan berikutan wabak penyakit berkenaan di negara itu.

Perth Glory FC dijadualkan menjadi tuan rumah kepada Shanghai Shenhua pada 11 Februari sementara Sydney FC akan berhadapan Shanghai SIPG sehari kemudian.

Juara enam kali Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah wakil tunggal Malaysia di kejohanan berprestij Asia itu dan diundi bersama dalam Kumpulan G dengan wakil Jepun, Vissel Kobe; Suwon Samsung Bluewings dari Korea Selatan dan kelab China, Guangzhou Evergrande FC.

Artikel Berkaitan:

Skuad Harimau Selatan akan memulakan sepak mula kempen ACL dengan bertemu Vissel Kobe di Stadium Misaki Park, Kobe, pada 12 Februari sementara Suwon Samsung Bluewings dijadual menjadi tuan rumah kepada Guangzhou Evergrande FC di Stadium Suwon World Cup pada hari sama.

Beberapa acara sukan, termasuk kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 dibatalkan dan ditunda berikutan penularan wabak itu setakat ini. - Bernama