Mesyuarat tergempar OIC bincang perkembangan di Sudan

OIC pada Rabu mengadakan mesyuarat tergempar di Jeddah bagi membincangkan perkembangan mutakhir di Sudan. Foto Twitter OIC
OIC pada Rabu mengadakan mesyuarat tergempar di Jeddah bagi membincangkan perkembangan mutakhir di Sudan. Foto Twitter OIC
A
A
A

JEDDAH - Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada Rabu mengadakan mesyuarat tergempar di Jeddah bagi membincangkan perkembangan mutakhir di Sudan, ekoran pertempuran tentera semakin meningkat hingga mengorbankan dan mencederakan ramai orang awam.

Semasa mesyuarat itu, organisasi itu mengesahkan keperluan untuk menyelesaikan konflik secara aman, menyeru perpaduan di Sudan dan mengesahkan sokongan terhadap rakyatnya, lapor Agensi Akhbar Saudi (SPA).

Setiausaha Agung OIC, Hissein Brahim Taha dalam ucapannya ketika merasmikan mesyuarat itu menekankan bahawa pertubuhan itu akan melaksanakan cadangan negara-negara anggota, termasuk kemungkinan menghantar delegasi berprofil tinggi ke Sudan dengan Arab Saudi bertindak sebagai penyelaras dan pengerusi semasa Sidang Kemuncak Islam dan Jawatankuasa Eksekutif OIC.

Taha melahirkan rasa dukacita atas pertelingkahan berdarah di Sudan dan berharap pihak-pihak berkaitan menandatangani perjanjian muktamad dan membentuk kerajaan sementara.

Beliau juga kesal terhadap pelanggaran gencatan senjata untuk memindahkan misi diplomatik dan mangsa yang cedera.

Sementara itu, Agensi Anadolu melaporkan bahawa OIC merancang menghantar delegasi peringkat tinggi ke Sudan untuk berbincang mengenai situasi di negara itu.

OIC akan terus mengikuti perkembangan terkini di Sudan "untuk memperoleh keamanan demi mencapai aspirasi rakyat Sudan” menurut laporan itu. - Bernama