X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan tanpa etos Melayu, Islam

A
A

REALITI hari ini Malaysia berada dalam keadaan tidak menentu, goyah dan kian rapuh dalam banyak hal terutama sudut ekonomi, hubungan antara kaum dan agama, serta kredibiliti pentadbiran negara.

Pasca PRU-14 memperlihatkan negara berhadapan perpecahan masyarakat berasaskan kaum dan agama yang kian membesar mengikut ketaksuban kepada parti dan pemimpin politik.

Rakyat menjadi disjointed, berprasangka dan mencurigai antara satu sama lain demi mempertahankan ideologi dan pemimpin masing-masing.

Keadaan ekonomi yang makin merosot dan kualiti kepimpinan Kabinet yang sangat rendah berbanding kerajaan sebelumnya menambahkan duka lara negara ini.

Akibatnya, para pelabur, usahawan dan pemerhati politik hilang keyakinan dengan kemampanan kerajaan ini.

Saban hari diperbahaskan mengenai pergolakan politik, kecurigaan antara kaum dan agama, serta saling mencerca antara kumpulan politik tanpa mengambil kira lagi batas agama, budaya dan kesopanan yang menjadi sebahagian teras tamadun Tanah Melayu ini.

Strategi kasar

Keputusan PRU14 lalu menunjukkan hanya sekitar 25-30 peratus pengundi Melayu (dan Muslim) menyokong PH.

Dengan kata lain kemenangan parti pemerintah hari ini tidak didokong oleh masyarakat bumiputera dan penganut Islam yang merupakan kelompok terbesar rakyat negara ini.

Pada awal pembentukan kerajaan baharu, orang Islam bersikap tunggu dan lihat kerana mereka percaya pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri akan menjaga kepentingan agenda Islam dan Melayu ini.

Malangnya Dr Mahathir bermula dengan cara yang salah apabila menyerang dan menghentam dua parti terbesar orang Islam iaitu UMNO dan Pas.

Tindakan mengaibkan bekas Perdana Menteri, Mohd Najib Tun Razak secara keterlaluan turut membuatkan majoriti orang Melayu berjauh hati dengan kerajaan.

Dr Mahathir mungkin berharap dengan kecaman dan penghinaan yang dibuat akan menyebabkan orang Melayu menyertai Bersatu. Namun strategi kasar beliau tidak berjaya.

Walaupun kita sudah dalam milenia baru, orang Melayu mempunyai beberapa sensitiviti yang masih berakar teguh dalam diri mereka.

Ini termasuk menolak sikap sombong, bongkak, menindas pihak yang lemah dan menghina lawan secara keterlaluan.

Orang Melayu makin hilang kepercayaan apabila pelantikan-pelantikan jawatan utama dan strategik seperti Menteri Kewangan, Menteri Komunikasi, Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara yang sebelum ini dikuasai oleh Muslim telah diberi kepada DAP dan bukan Islam.

Orang Islam mula curiga mengenai pentadbiran Dr Mahathir.

Mereka melihat DAP telah menjadi parti dominan dalam kerajaan. Beberapa naratif kerajaan kemudiannya termasuk isu ICERD, Status ROM, Tabung Haji dan hal-hal berkaitan Islam dan Melayu telah melukakan hati orang Islam.

Pada hemat saya kerajaan tidak lagi menikmati sokongan 30 peratus Melayu yang mengundi mereka dalam PRU14.

Jumlah itu telah susut dengan banyak berikutan rentetan pelbagai isu yang menunjukkan kerajaan gagal mempertahankan etos Islam dan Melayu dalam pentadbiran negara ini.

Etos Islam dan Melayu dalam kerajaan ini penting kerana ia merupakan tonggak ketamadunan Tanah Melayu sejak lebih seribu tahun lalu.

Ia juga merupakan asas pembentukan negara ini yang dimaktubkan dalam Perlembagaan Malaysia.

Namun lebih penting masyarakat Islam dan Melayu mewakili hampir 70 peratus penduduk negara ini. Sukar untuk mana-mana parti berdiri teguh tanpa sokongan kuat kelompok ini.

Negara ini akan berhadapan laluan yang sukar untuk beberapa tahun mendatang kecuali suatu perubahan drastik dilakukan atau mandat baharu diminta kepada rakyat.

*Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)