EU 'hilang' UK sebagai penyumbang kewangan terbesar

Kebanyakan muka depan akhbar harian di UK semalam memaparkan tajuk Brexit sebagai berita utama mereka. - Foto AFP
Kebanyakan muka depan akhbar harian di UK semalam memaparkan tajuk Brexit sebagai berita utama mereka. - Foto AFP
A
A
A

BEJA - Negara anggota Kesatuan Eropah (EU) perlu mencapai persetujuan segera terhadap anggaran bajet selepas ia kehilangan UK yang merupakan penyumbang kewangan terbesar blok terbabit.

“Kita perlu menegaskan perpaduan EU selepas UK melaksanakan langkah Brexit,” kata Perdana Menteri Portugal, Antonio Costa di Beja, selatan Portugal.

Difahamkan, sebanyak 15 negara bersetuju untuk mempertahankan Cohesion Fund yang diberikan kepada negara anggota yang memperoleh Pendapatan Negara Kasar kurang daripada 90 peratus daripada purata EU dan bertujuan untuk mengurangkan jurang ekonomi dan sosial serta mempromosikan pembangunan yang mampan.

Presiden Majlis Eropah, Charles Michel bercadang untuk mengadakan sidang kemuncak belanjawan khas dalam tempoh tiga minggu akan datang bagi mencapai persetujuan untuk bajet 2021-2027.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri UK, Boris Johnson dilaporkan bersedia mengenakan pemeriksaan kastam dan sempadan ke atas kesemua barangan Kesatuan Eropah (EU) yang memasuki negara itu bermula tahun depan.

Akhbar The Daily Telegraph melaporkan langkah itu bertujuan untuk meningkatkan tekanan terhadap blok terbabit untuk rundingan perdagangan yang akan diadakan pada tahun ini.

“Langkah itu termasuk pengisytiharan eksport, keselamatan, pemeriksaan kesihatan haiwan dan kesemua barangan pasar raya di Pos Pemeriksaan Sempadan. Ia akan menggandakan cabaran praktikal di sempadan pada Januari 2021,” lapor akhbar itu memetik kenyataan pegawai kanan kerajaan kelmarin.

Sementara itu, jurucakap pejabat Perdana Menteri memaklumkan perubahan seperti itu tidak dapat dielakkan memandangkan UK kini meninggalkan Kesatuan Kastam EU dan pasaran tunggal. - Agensi

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Selamat tinggal Kesatuan Eropah

EU sokong Perjanjian Keluar Brexit