MAHA 2024 lebih meriah

 Zurihanmi (kiri) meninjau persiapan akhir sempena sambutan 100 tahun MAHA di MAEPS Serdang pada Jumaat.
Zurihanmi (kiri) meninjau persiapan akhir sempena sambutan 100 tahun MAHA di MAEPS Serdang pada Jumaat.
A
A
A

SERDANG - Meraikan 100 tahun penganjurannya, Pameran Pertanian Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) edisi 2024 yang akan berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, mulai 11 September ini tampil menawarkan pelbagai aktiviti menarik buat pengunjung.

Bertemakan ‘Menuai Harapan, Membina Masa Hadapan’, pameran pertanian utama dan terbesar di Asia Tenggara yang menyediakan lebih 2,000 ruang jualan dan pameran itu akan dibuka mulai jam 10 pagi hingga 10 malam sepanjang 12 hari acara itu diadakan.

Ketua Sekretariat MAHA 2024, Zurihanmi Zakariya berkata, selari dengan tema yang diangkat pada edisi kali ini, acara dwitahunan tersebut juga bermatlamat untuk meraih masa depan pertanian yang lebih maju dan inovatif selari dengan usaha menjadikan sektor berkenaan sebagai sumber pendapatan utama.

Menurutnya, melangkaui satu abad penganjuran, acara tersebut menjadi pameran sektor pertanian yang sentiasa dinanti oleh segenap lapisan masyarakat kerana membawa elemen teknologi terkini dan penekanan pameran bersifat interaktif dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan negara.

“Kita percaya memandangkan cuti sekolah dan sebagainya, kita bersedia di kawasan yang berkeluasan 130 hektar ini (MAEPS Serdang) untuk menerima kunjungan seramai tiga juta orang sepanjang tempoh program ini. Bagi setiap hari pelaksanaan program kita sasar seramai 300,000 pengunjung setiap hari.

“Terdapat 48 segmen yang kita bawakan khas kepada pengunjung dan masyarakat. Ada elemen yang bersifat konvensional dan ada suntikan baharu khususnya untuk menarik penyertaan golongan muda untuk hadir beramai-ramai,” katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan tapak acara berkenaan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, segmen bagi dalam dewan yang ada antaranya Agro-Tech, Agro-Lifestyle, Agro-Tourism dan Agro-Youth. Bagi segmen pameran atau jualan pula ialah Agro-Food Padi, Agro-Food Florikultur, Agro-Food Nanas, Agro-Food Sayuran & Herba dan Agro-Food Ternakan.

ZURIHANMI
ZURIHANMI

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, terdapat 13 pavilion negeri, yang masing-masing mempunyai reka bentuk yang unik.

“ Pavilion-pavilion negeri yang dijangka menampilkan ciri-ciri negeri-negeri di Malaysia termasuk keunikan kesenian budaya, pusat tarikan pelancongan, produk dan makanan yang boleh dinikmati oleh pengunjung,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai tarikan baharu untuk MAHA edisi kali ini, Zurihanmi berkata, terdapat enam segmen atau zon diperkenalkan iaitu Magical At Night & Water Show, Kids Attraction, Rhythm of Farmers, Agro Fit, Sunflower Garden dan Floating Market.

“Selari dengan penganjuran pada musim cuti sekolah, zon Kids Attraction ini menyediakan kawasan khusus untuk kanak-kanak bermain dan menyertai pelbagai aktiviti disediakan.

“Tidak lupa juga, tarikan baharu kali ini juga menyediakan ruang glamping, motorhome dan sebagainya dalam usaha untuk menarik penyertaan golongan muda. Bagi penyertaan aktiviti ini kita galak pengunjung supaya membuat tempahan awal kerana ia terhad,” katanya.

Beliau menambah, lembu sado yang menjadi elemen tarikan utama kepada MAHA juga turut ditampilkan selain dua ekor gajah turut di bawa pada kali ini.

Kelainan

Menurut Zurihanmi, menyentuh mengenai pendekatan baharu MAHA 2024 iaitu mempromosikan ‘MAHA Go Global’, beliau berkata, ia selari dengan hasrat untuk menjadikan acara edisi kali ini menjadi medan sektor pertanian berteknologi tinggi di peringkat dunia.

No Image Caption

“MAHA pada edisi yang ke-100 pada tahun ini membawa kelainan apabila tiga hari yang pertama iaitu pada 11 hingga 13 September 2024 dibuka khusus untuk komuniti perniagaan (B2B) di Dewan C dan bagi lain-lain segmen dibuka untuk dilawati oleh semua bermula 11 hingga 22 September.

“Pada edisi kali ini kita telah mempromosikan MAHA Go Global kepada negara-negara luar bagi turut serta mempamerkan teknologi pertanian, memadan perniagaan bersama usahawan tempatan di samping membuka peluang potensi pelaburan kepada sektor agromakanan negara,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini 16 negara telah mengesahkan penyertaan antaranya Japan, Brunei, Indonesia, Thailand, Hong Kong dan beberapa negara Eropah.

“MAHA 2024 akan menjadi batu loncatan baharu atau pencetus kepada dimensi baharu sektor pertanian untuk 20 hingga 30 tahun akan datang. Jadi untuk kali ini kita akan memberi penekanan kepada pelbagai elemen yang akan dibawa atau perkenalkan kepada pengunjung antaranya kecerdasan buatan (AI), Internet pelbagai Benda (IoT),” katanya.

Pelbagai kemudahan

Zurihanmi dalam masa sama turut memaklumkan pelbagai kemudahan disediakan kepada pengunjung dengan ada antaranya yang telah ditambah baik berbanding sebelum ini.

Antara kemudahan yang ditambah baik katanya, penganjur menyediakan laluan pejalan kaki berbumbung sejauh 1.1 kilometer (km) sebagai usaha untuk memberi lebih keselesaan kepada orang ramai.

No Image Caption

“Kita juga menyediakan bas perantara secara percuma kepada pengunjung di beberapa lokasi antaranya di stesen Transit Aliran Masa (MRT) UPM, Putrajaya Wetland, IOI City Putrajaya.

“Selain itu, turut disediakan 10 unit tram, empat unit trektor dan gerabak, 30 bas, lebih 100 buggy dan kita juga tidak lupa kepada pengunjung orang kurang upaya (OKU) di mana disediakan parkir laluan masuk di Pintu 1 dan 2, kemudahan tandas, surau, tempat makan dan sebagainya,” katanya.

Selain menyasarkan tiga juta pengunjung, beliau berkata, MAHA edisi kali ini juga turut meletakkan beberapa sasaran lain antaranya RM6 bilion nilai memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA), RM40 juta nilai jualan langsung, RM600 juta potensi pembiayaan dan padanan perniagaan melalui jangkaan 4,000 permohonan dan 10 juta capaian media.

“Diharapkan MAHA 2024 menjadi medium terbaik Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk menyebar luas potensi sektor pertanian dan projek berasaskan teknologi tinggi dalam sektor pertanian.

“Selain itu, MAHA 2024 juga diharap bakal memberi peluang dan ruang kepada masyarakat peladang, penternak dan nelayan melalui ekspo yang berlangsung sama ada melalui pemerhatian dan pembelajaran dalam teknologi baharu pertanian, mencari ruang pasaran, mempamer serta mempromosi produk masing-masing,” katanya.

Beliau dalam masa sama turut memberi jaminan keselamatan pengunjung turut diberi keutamaan sepanjang berlangsungnya acara tersebut dengan menempatkan pelbagai agensi keselamatan di lokasi berkenaan.

Bagaimanapun beliau turut menasihatkan orang ramai untuk berwaspada terutamanya bagi ibu bapa yang membawa anak-anak bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingin selain mematuhi semua arahan ditetapkan pihak penganjur.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!