Suasana stadium meriah, rakyat Malaysia sokong Palestin
RAKYAT Malaysia terus menyatakan solidariti terhadap perjuangan Palestin menuntut hak kedulatan negara itu daripada rejim Zionis Israel menerusi sokongan mereka kepada pasukan bola sepak Palestin pada perlawanan pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 Zon Asia antara Palestin dan Jordan.
Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras di sini meriah dengan kehadiran rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan lapisan umur datang menyokong pasukan bola sepak negara itu dengan membawa bendera dan memakai baju Palestin.
Selain itu, rata-rata yang datang turut memakai mafla dan ada beberapa penyokong melukis serta mengenakan pelekat bendera Palestin pada wajah mereka.
Perlawanan dijadual bermula pada 10 malam namun orang ramai dilihat datang lebih awal dan berada luar stadium sebelum pintu pagar dibuka kepada penyokong.
Seorang peminat bola sepak, Zamri Ali, 54, berkata, selain pergi ke Palestin untuk menghulurkan bantuan, menerusi sukan juga rakyat Malaysia dapat menunjukan solidariti mereka.
"Saya berbesar hati apabila Palestin memilih negara kita sebagai tuan rumah. Oleh sebab itu, saya hadir ke stadium semata-mata mahu memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin.
"Jadi saya harap pada perlawanan malam ini Palestin akan menang seterusnya layak ke Piala Dunia. Sama-sama kita doakan negara Palestin diberi kemenangan dan keamanan,"ujarnya.
Sementara itu, seorang pelajar, Muhamad Haikal Muhamad Syafie, 20, memberitahu, dia tidak kisah walaupun terpaksa berhabis duit untuk membeli tiket bagi menonton dan memberi sokongan kepada Palestin.
"Bagi saya ini cara kita untuk terus tunjuk solidariti kepada rakyat Palestin supaya mereka sedar kita sentiasa ada, bezanya tidak dapat kesana membantu.
"Dalam masa sama saya sangat bangga dengan Palestin, walaupun negara itu sedang dalam peperangan tapi pasukan bola sepak mereka mampu sampai ke tahap ini. Saya harap Palestin dapat ke Piala Dunia,"jelasnya.
Bagi Atillah Sani, walaupun bukan peminat bola sepak tapi demi ingin memberi semangat kepada rakyat Palestin dia sanggup datang melihat perlawanan tersebut.
"Walaupun bukan Malaysia yang main, saya tetap datang sebagai penghormatan dan sokongan kepada rakyat Palestin.
"Lagipun sebelum ini saya tidak pernah ketinggalan untuk mengikut sebarang perhimpunan solidariti untuk Palestin. Begitu juga hari ini walaupun agak penat dengan aktiviti harian saya tetap datang," katanya.