Berkelah, memancing antara punca Tasik Timah Tasoh tercemar

Kualiti air di tasik Timah Tasoh berlaku penurunan akibat aktiviti manusia. (Gambar kecil: Dr Ahmad Ismail)
Kualiti air di tasik Timah Tasoh berlaku penurunan akibat aktiviti manusia. (Gambar kecil: Dr Ahmad Ismail)
A
A
A

PADANG BESAR - Aktiviti manusia sekitar Tasik Timah Tasoh seperti aktiviti perindustrian, pertanian, kuari dan perbandaran menyumbang kepada perubahan kualiti air dan alam sekitar di tasik buatan manusia yang terletak kira-kira 17km dari bandar Kangar itu.

Walaupun tahap pencemaran air dan alam sekitar di tadahan air itu tidak terlalu serius ketika ini, ia dikhuatiri akan bertambah buruk sekiranya tiada usaha tegas dilakukan pihak berkuasa bagi memelihara kawasan yang menjadi nadi kepada pembangunan pertanian bersepadu di samping menyumbang kepada kawalan banjir di sini.

Tinjauan mendapati sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pengunjung membuang sampah ke dalam air dan pinggir tasik bukan hanya mencacatkan mata memandang malah boleh menyumbang kepada pencemaran air dan alam sekitar yang lebih serius.

Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Profesor Dr Ahmad Ismail berkata, kajian yang dilakukan mendapati bahawa berlaku penurunan kualiti air di Empangan Timah Tasoh yang boleh memberikan kesan kepada populasi dan kualiti haiwan bentos yang menjadi makanan burung air termasuk burung-burung hijrah.

“Pencemaran bahan kimia seperti racun perosak juga boleh menurunkan kualiti air tasik dan boleh berkumpul dalam badan haiwan ‘bentos’ (haiwan di dasar tasik) dan seterusnya boleh masuk ke dalam sistem jaringan makanan termasuk burung hijrah.

"Burung-burung berhijrah singgah di Tasik Timah Tasoh semasa musim sejuk di hemisfera utara antara bulan Oktober hingga Mac setiap tahun dan habitat di sini menyediakan makanan dan tempat tinggal sementara untuk burung berhijrah,” katanya di sini baru-baru ini.

Empangan Timah Tasoh
Empangan Timah Tasoh

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kesesuaian Tasik Timah Tasoh sebagai habitat burung mendorong badan antarabangsa BirdLife International mengiktiraf kawasan itu sebagai tempat penting bagi burung-burung atau kepelbagaian biologi.

“Sebanyak 135 hingga 145 spesies burung-burung pernah direkodkan di Tasik Timah Tasoh. Ini menjadikannya sebagai tarikan peminat burung dan ahli fotografi yang penting,” katanya yang menambah Tasik Timah Tasoh terletak dalam laluan EAAF (East Asian Australasian Flyway) iaitu satu laluan hijrah penting daripada lapan laluan di dunia.

Sementara itu seorang nelayan darat Tasik Timah Tasoh yang hanya ingin dikenali sebagai Pak Non berkata, tasik itu mula dicemari sampah sarap sejak tiga tahun lalu apabila pengunjung yang datang berkelah dan memancing membuang sampah sesuka hati.

“Kami komuniti nelayan darat menganjurkan gotong-royong bagi menjaga kebersihan di sini namun pagi ini bersihkan pinggir tasik tak sampai petang sampah sudah penuh menyebabkan kadang-kadang saya rasakan tidak berbaloi dengan penat,” katanya yang mula mencari rezeki memukat ikan kawasan itu sejak 10 tahun lepas.

Dia berharap pihak berkuasa mengambil langkah mendidik masyarakat supaya lebih bertanggungjawab dan menjaga kebersihan di sekitar tasik sebelum terlambat. - Bernama