[VIDEO] Batal permit RXZ Members jika banyak langgar undang-undang - Polis
KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu mempertimbangkan untuk membatalkan permit program himpunan motosikal RXZ Members sekiranya didapati berlaku banyak pelanggaran undang-undang pada penganjuran acara itu kali ini.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin sehubungan itu mengingatkan penganjur dan peserta program tersebut supaya mematuhi peraturan ditetapkan.
"Kita dah beberapa kali melakukan perjumpaan dengan penganjur. Itulah kita tekankan untuk pastikan kehadiran peserta mematuhi undang-undang.
"Mungkin kita boleh ambil kira (tidak memberi lesen kepada penganjur jika ada banyak pelanggaran undang-undang).
"Selain itu, kami ada mencadangkan kepada penganjur letak wang cagaran kepada pihak berkuasa tempatan tetapi mungkin perkara ini akan dikaji semula supaya penganjur ambil tanggungjawab untuk mendisiplinkan peserta RXZ Members," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Op Khas Motosikal Sempena Program RXZ Members 6.0 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini pada Isnin.
Mohd Khairi berkata, program RXZ Members 6.0 yang akan diadakan pada Jumaat sehingga Sabtu ini di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus dijangka menarik penyertaan 80,000 peserta dari seluruh negara.
Menurutnya, rondaan akan dijalankan di setiap daerah pada waktu siang dan malam terutama di kawasan-kawasan perumahan manakala sekatan jalan raya (SJR) akan diadakan di sekitar Kuala Terengganu.
"Kita meningkatkan SJR dengan memberi fokus pada lokasi 'hotspot' di sekitar Kuala Terengganu.
"Kita juga akan mengadakan penutupan di jalan utama Litar Permotoran Terengganu. Hanya motosikal dibenarkan masuk bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan menjaga ketenteraman awam sepanjang program itu berlangsung," ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd Khairi berkata, pihaknya menasihatkan kepada semua peserta supaya tidak melakukan kesalahan ekstrem termasuk mengubah suai ekzos kenderaan.
"Pastikan semua peserta yang hadir mempunyai lesen memandu selain kenderaan yang ditunggang mempunyai cukai jalan yang sah.
"Kami mengalu-alukan kehadiran peserta RXZ Member 6.0 ke Terengganu, namun ingin saya tegaskan agar semua peserta mematuhi undang-undang jalan raya telah ditetapkan.
"Penunggang motosikal dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan untuk berehat di lorong-lorong kecemasan sebaliknya berehatlah di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) yang sedia ada bagi mengelakkan sebarang kemalangan atau kejadian yang tidak diingini berlaku," katanya.