Hujan sangat lebat punca banjir kilat di Bertam

Reezal (tengah) bersama wakil agensi kerajaan ketika meninjau pelan mitigasi banjir di Bertam.
Reezal (tengah) bersama wakil agensi kerajaan ketika meninjau pelan mitigasi banjir di Bertam.
A
A
A

KEPALA BATAS - Banjir kilat di beberapa kawasan di sekitar Bertam Perdana pada petang Sabtu didakwa berpunca daripada hujan terlalu lebat mengakibatkan kolam takungan sebuah projek perumahan di sini tidak mampu menampung air yang terlalu banyak.

Taburan hujan yang tinggi dan berlarutan beberapa jam menyebabkan air naik secara mendadak termasuk di beberapa kawasan yang sebelum ini tidak pernah banjir termasuk Kampung Tambang.

Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Zainuddin Mohamed berkata, maklumat yang diperoleh mendapati air dari kawasan kampung yang terjejas dialir keluar ke tanah Bertam Properties melalui pembentung yang merentasi sungai Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) di sini.

Keadaan banjir di kawasan Lahar Tiang pada Sabtu lalu.
Keadaan banjir di kawasan Lahar Tiang pada Sabtu lalu.

Menurutnya, tanah Bertam Properties yang dalam proses untuk dibangunkan dikatakan telah ditambun lebih tinggi menyebabkan air dari Kampung Tambang tidak dapat dialirkan ke sungai yang akhirnya menyebabkan Kampung Tambang dinaiki air.

"Sebagai langkah penyelesaian segera saya telah berbincang dengan Bertam Properties untuk meminta mereka alirkan air ke kolam takungan di kawasan pembangunan mereka.

"Bertam Properties memaklumkan bahawa air melimpah ke kampung kerana kuantiti air yang memasuki kawasan pembangunan mereka terlalu banyak disebabkan hujan lebat.

"Air yang terkumpul di kolam takungan tidak dapat dialirkan dengan cepat ke sungai memandangkan pembentung yang digunakan kecil," katanya kepada Sinar Harian, di sini pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Zainuddin berkata, Bertam Properties telah mengambil tindakan segera dengan membuat tindakan sewajarnya bagi membolehkan air mengalir lebih pantas.

Zainuddin (tiga dari kanan) ketika meninjau kawasan banjir pada Ahad.
Zainuddin (tiga dari kanan) ketika meninjau kawasan banjir pada Ahad.

Beliau berkata, pembentung kecil tidak bermaksud Bertam Properties tidak mengikuti spesifikasi sebaliknya pembentung kecil tersebut tidak mampu menampung air yang terlalu banyak tidak dapat dialirkan dengan laju.

Jelasnya, keadaan itu menyebabkan air melimpah ke rumah berdekatan sempadan tanah Bertam Properties.

"Saya dimaklumkan oleh wakil Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) hujan pada petang tersebut melebihi 60mm iaitu sangat lebat.

"Lebuh Bertam Perdana (Pinggiran) juga ditenggelami air, paras air sungai yang tinggi menyebabkan air di longkang tidak dapat dialirkan keluar dengan pantas sehingga menyebabkan air melimpah ke jalan raya," tambahnya lagi.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, berhubung kejadian banjir di sekitar Lahar Tiang Bertam Properties memberikan komitmen untuk menambah baik parit di kiri dan kanan jalan Kampung Permatang Durian dan Kampung Lahar Tiang.

Katanya, kolam takungan di tapak projek perumahan di Kampung Lahar Tiang dan di sebelah Kampung Tambang juga akan diperdalamkan supaya dapat menampung air dari kawasan kampung.

"Hasil perbincangan dengan pihak berkaitan, Bertam Properties memberikan komitmen untuk menambah baik yang sepatutnya bagi mengelak kejadian sama berulang.

"Perparitan di Kampung Tambang, akan diperluaskan dan permohonan akan dibuat kepada PBAPP untuk membina parit di kawasan rizab miliknya," tambahnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!