Perhilitan tangkap gajah liar jantan di Dabong
KOTA BHARU - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Daerah Kuala Krai menangkap seekor gajah liar jantan di Kampung Gua Ikan, Dabong pada Jumaat.
Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, gajah berkenaan ditangkap pada jam 11 pagi hasil usaha Perhilitan dan Unit Tangkapan Gajah (UTG).
Menurut beliau, pihaknya menerima aduan pada 29 Ogos lalu berkaitan enam ekor gajah liar yang berkeliaran dan merosakkan tanaman di kampung itu.
"Susulan aduan berulang itu, pegawai terbabit menjalankan siasatan dan mendapati kumpulan gajah masih berada di lokasi itu.
"Pada 31 Ogos lalu, UTG Kelantan menjalankan operasi di lokasi aduan dan berjaya menangkap gajah jantan itu," katanya melalui kenyataan pada Sabtu.
Jelas beliau, pemerhatian awal mendapati gajah liar itu berada dalam keadaan stabil dan pihaknya menjalankan pemantauan berterusan di lokasi tangkapan sehingga operasi pemindahan selesai.
Mohamad Hafid turut memaklumkan bahawa tangkapan dan pemindahan gajah liar bukan penyelesaian jangka panjang kerana kampung terbabit berhampiran kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Serasa yang menjadi habitat asal gajah liar.
"Orang ramai disarankan lebih berhati-hati jika terserempak dengan hidupan liar dan tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh mendatangkan risiko keselamatan," katanya.