Johor berjaya kurangkan hutang

Catat RM222.39 juta tahun lalu berbanding RM520.94 juta tahun sebelumnya

Dr Sahruddin (tengah) pada Majlis Amanat Tahun Baru 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru.
Dr Sahruddin (tengah) pada Majlis Amanat Tahun Baru 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri berjaya mengurangkan hutang kepada kerajaan Pusat dengan penyusutan hutang direkodkan akhir Disember lepas sebanyak RM222.39 juta berbanding RM520.94 juta tahun sebelumnya dengan nilai peratusan sebanyak 57.1 peratus.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, menerusi perangkaan dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), sehingga September tahun lalu Johor menerima nilai kelulusan bagi projek perkilangan sebanyak RM7.7 bilion.

"Johor kekal menjadi antara destinasi pelaburan utama peringkat nasional. Nilai ini bersamaan 13.4 peratus daripada nilai kelulusan projek perkilangan di peringkat nasional yang mana 51 peratus disumbangkan menerusi pelaburan asing.

"Selain itu, jumlah kutipan sebenar prestasi hasil bagi tahun berakhir 31 Disember lalu adalah RM1.93 bilion dan ia melebihi anggaran asal Belanjawan 2019 iaitu RM1.55 bilion," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Tahun Baru 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini semalam.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani.

Dr Sahruddin berkata, prestasi perbelanjaan mengurus bagi tahun berakhir 31 Disember lalu adalah 97.17 peratus dan itu menunjukkan peningkatan prestasi berbanding tahun 2018 iaitu 95.70 peratus.

"Prestasi perbelanjaan pembangunan bagi tahun berakhir 31 Disember lalu adalah 92.07 peratus. Ia juga menunjukkan peningkatan prestasi berbanding tahun 2018 iaitu 87.84 peratus.

Artikel Berkaitan:

"Secara keseluruhan akaun hasil disatukan kerajaan negeri bagi tahun berakhir 31 Disember lalu yang belum diaudit mencatatkan lebihan RM68.268 juta," kata beliau