Pompili Rossi CEO baharu MFL ganti Stuart
[DIKEMAS KINI] LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan bahawa bekas Delegasi LaLiga di Malaysia, Giorgio Pompili Rossi dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pentadbir Liga Malaysia (Liga-M) yang baharu.
Pelantikan Pompili Rossi melengkapkan carta organisasi MFL menggantikan Datuk Stuart Ramalingam yang tamat kontrak bersama MFL selaku CEO pada 31 Ogos lalu.
Keputusan pelantikan tersebut telah dibuat menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah MFL menerusi satu mesyuarat pada 4 September lalu sekali gus menyaksikan Pompili Rossi adalah individu dari luar negara yang pertama dilantik sebagai CEO MFL.
Menurut Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, keputusan melantik Pompili Rossi dibuat berdasarkan pengalamannya dalam industri bola sepak sejak 2013 sehingga kini.
Beliau memulakan kerjayanya pada 2013 dengan menyertai agensi komersial kelab Serie A dan meneruskan tugas di Sepanyol bersama Valencia CF sebelum beliau menyertai LaLiga pada 2017.
Pompili Rossi mula bertapak di Malaysia sebagai Delegasi LaLiga pada 2017 sehingga 2021, di mana dia memainkan peranan penting dalam membangunkan jenama liga Sepanyol dan mempromosikan kelab-kelab Sepanyol di kalangan peminat bola sepak di negara ini.
Selepas itu, Pompili Rossi melebarkan sayapnya sebagai Delegasi LaLiga Thailand yang berpangkalan di Bangkok sejak 2021 serta turut menjalankan operasi di Laos, Kemboja dan Myanmar sehingga kini sebelum dilantik selaku CEO MFL.
“Kami di MFL mengalu-alukan kedatangan Pompili Rossi dan menaruh kepercayaan dengan kebolehan serta kepakaran beliau untuk menjalankan tugas selaku CEO yang baharu di sini.
"Beliau akan memulakan tugas apabila selesai urusan proses mendapatkan visa dalam masa terdekat ini.
“Pengalaman dan pengetahuan Pompili Rossi tentang bola sepak Malaysia dan rantau ini diharapkan dapat membantu dalam menguruskan operasi MFL khususnya daripada aspek pertandingan dan komersial Liga Malaysia,” kata Ab Ghani.
Sementara itu, Ab Ghani turut memberikan penghargaan kepada Stuart atas sumbangannya selama tiga tahun berkhidmat menerajui sekretariat MFL.
Menurutnya, komitmen tinggi yang telah ditunjukkan oleh bekas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu membolehkan MFL berjaya melakukan banyak perubahan khususnya dalam penstrukturan semula Liga-M, penggunaan VAR serta peningkatan nilai komersial liga.