Pau Marti lega Harimau Malaya lepasi ujian Azkals
PENGENDALI skuad bola sepak negara, Pau Marti Vicente menyifatkan satu kelegaan apabila dapat membawa Harimau Malaya ke perlawanan akhir Kejuaraan Pestabola Merdeka selepas menyingkirkan cabaran Filipina, pada Rabu.
Malah Pau Marti menggantikan Kim Pan-gon mengakui bukan satu tugas mudah menjinakkan The Azkals kendalian Norman Fegidero yang memiliki kelebihan fizikal apabila tampil memberikan tentangan sengit.
"Ya, satu perlawanan yang sukar namun kami sememangnya layak meraih kemenangan.
"10 minit terakhir kami kelihatan goyah sedikit apabila berdepan lawan yang kuat, dengan kekuatan fizikal yang kuat, menunjukkan bukan mudah untuk mendapatkan kemenangan.
"Saya fikir kami perlu lebih positif di mana kami sudah melangkah ke final, dan kami akan meraikannya malam ini," katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan.
Pada perlawanan separuh akhir yang dibarakan 15, 800 penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil, The Azkals terlebih dulu di depan menerusi jaringan Jefferson David Tabinas minit keempat.
Harimau Malaya kemudian menyamakan kedudukan menerusi Mohammad Syamer Kutty Abba minit ke-43 sebelum penalti minit ke-73, Safawi Rasid mengesahkan kemaraan ke perlawanan akhir pasukannya.
Kemenangan ke atas Azkals itu membolehkan Malaysia berdepan Lubnan asuhan Miodrag Radulovic dalam perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Ahad ini.
The Cedars mara ke perlawanan akhir selepas menyingkirkan penyandang juara Tajikistan pimpinan Gela Shekiladze, 1-0 hasil sentuhan Jihad Ayoub minit ke-13.