X

Kindly register in order to view this article
!

Dakwaan ke atas Trump bakal digugurkan?

Usaha Demokrat untuk menampilkan bekas Penasihat Keselamatan Negara, John Bolton (kanan) sebagai saksi gagal selepas ditolak Senat semalam. - Foto Agensi
A
A

WASHINGTON - Senat Amerika Syarikat (AS) semalam menolak bukti baharu dalam perbicaraan pemecatan Presiden Donald Trump sekali gus meletakkan siasatan selama beberapa bulan yang dilancarkan ke atas bilionair hartanah tersebut kini berada pada peringkat akhir.

Keputusan 51-49 bagi menghalang saksi itu bakal menyaksikan proses undian untuk menggugurkan tuduhan ke atas Trump yang dijadualkan pada Rabu ini.

Ketika proses undian tersebut, dua anggota Parti Republikan, Senator Maine, Susan Collons dan Senator Utah, Mitt Romney menyertai 47 anggota Demokrat dan Parti Bebas untuk menampilkan saksi serta dokumen bukti.

Bagaimanapun, usaha mereka dihalang oleh dua undian tambahan Senator Republikan, Lamar Alexander dan Lisa Murkowski.

Senat turut menolak kesemua empat pindaan yang ditawarkan Demokrat di bawah langkah akhir mereka untuk memanggil saksi dan mengemukakan dokumen tambahan.

Pemimpin Demokrat, Chuck Schumer menyifatkan keputusan dibuat Senat itu seakan-akan berpaling daripada kebenaran dan ia jelas perbicaraan palsu.

"Amerika akan ingat hari ini apabila Senat tidak menunaikan tanggungjawab mereka. Jika Presiden dibebaskan tanpa mengemukakan saksi atau sebarang dokumen. Keputusan itu sememangnya tiada nilai," tegasnya.

Senat dijangka bersidang semula pada Isnin ini untuk mengemukakan hujah penutup yang akan disampaikan pihak pendakwa dan pasukan pembela Trump.

Difahamkan, keputusan untuk pengundian akhir itu bertujuan memberi tempoh kepada Senat untuk memutuskan nasib Trump yang berdepan dakwaan menyalahgunakan kuasa dan menghalang siasatan Kongres yang dikemukakan Dewan Perwakilan sebelum ini. - Agensi

Info

> Dua pertiga majoriti daripada 67 undi di Senat diperlukan untuk memecat Trump.

> Republikan menguasai Senat dengan 53-47 undi majoriti ke atas Demokrat.

> Sehingga kini, tiada Senator Republikan memberi isyarat akan mengundi untuk menyingkirkan Trump.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus