Cadangan Tun M kembalikan PPSMI perlu disokong: PAGE

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Hasrat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mewujudkan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) perlu diterima baik semua pihak.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata, negara perlu mengambil peluang memanfaatkan kemajuan inovasi di peringkat global melalui potensi hebat dimiliki rakyat sendiri.

Menurutnya, negara memerlukan sekurang-kurangnya 500,000 saintis dan jurutera untuk melonjakkan ekonomi ke hadapan agar seluruh rakyat Malaysia dapat menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik.

"Kita tidak mampu hadapi risiko hilang bakat yang keluar dari negara, untuk mereka mencapai kelebihan ini di luar negara. Negara perlu meningkatkan Foreign Direct Investment (FDI) iaitu menarik pelabur asing untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan agar industri-industri inovatif dapat digerakkan. Hanya dengan ilmu pengetahuan sains yang ulung, kita boleh menerajuinya.

"Ahli sains dan jurutera berdaya memimpin industri. Dengan ini, kita boleh meningkatkan lebih banyak lagi bakat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan mereka kelak boleh menjadi tunjang untuk mengembangkan lagi inovasi, kreativiti dan penyelesaian pelbagai masalah," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian hari ini.

Noor Azimah berkata, semua pihak termasuk guru dan pengurusan Kementerian Pendidikan (KPM) perlu bersangka baik dengan cadangan Dr Mahathir dengan menyokong matlamat Perdana Menteri dan juga pemangku Menteri Pendidikan itu supaya hasrat tersebut tercapai.

Beliau turut berharap agar PPSMI dapat diterima dengan baik dan tiada lagi isu bantahan dibangkitkan lagi selepas ini.

Semalam, dalam satu mesyuarat tertutup dengan pegawai Kementerian Pendidikan (KPM) di Putrajaya, Dr Mahathir berkata, PPSMI akan dikembalikan dalam sistem pendidikan negara selepas ia dimansuhkan secara berperingkat pada 2012.

Artikel Berkaitan:

Dr Mahathir berkata, kedua-dua mata pelajaran itu berbeza dengan yang lain kerana ia bukan bidang ilmu yang diolah dari negara ini tidak seperti Sejarah dan Geografi.

ARTIKEL BERKAITAN Subjek Sains, Matematik kembali diajar dalam Bahasa Inggeris: PM