Malaysia #QuranHour landasan bentuk jati diri individu
SEREMBAN - Penganjuran program Malaysia #QuranHour 2024 membuktikan al-Quran merupakan landasan terbaik untuk membentuk jati diri individu.
Komander Pangkalan Udara Sendayan, Kolenal Azman Taib berkata, oleh sebab itu penting al-Quran dijadikan sebagai pegangan kepada semua dan perlu dipraktikkan dalam kehidupan seharian.
"Saya boleh katakan program ini jadi pemangkin kepada kita semua termasuk anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk menjadi individu lebih baik dengan menerapkan nilai-nilai al-Quran dalam kehidupan.
"Dengan keadaan dunia hari ini yang semakin mencabar dengan pelbagai kes tekanan jiwa dan perasaan, saya rasa ini adalah masa terbaik untuk kembali kepada landasan hidup sebenar," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ditemui selepas program Malaysia #QuranHour di Pusat Islam Pangkalan Udara Sendayan di sini.
Tambahnya, semua perkara dapat ditangani dengan baik sekiranya hidup setiap orang berpaksikan kepada al-Quran.
Selain itu katanya, pemilihan tema Malaysia #QuranHour kali ini iaitu 'Jiwa Merdeka: Memaknai Rukun Negara' amat bertepatan dengan Hari Kebangsaan yang disambut 31 Ogos pada Sabtu.
Jelasnya, sememangnya kemerdekaan telah pun dikecapi negara, namun pembinaan bangsa yang sebenar adalah bermula dengan jiwa yang merdeka.
"Kita mungkin sudah merdeka dari sudut fizikal, tetapi ia tidak bermakna jika akal kita, adab dan hati kita tidak merdeka.
"Jika diingati Rukun Negara itu dibentuk iaitu setahun selepas berlakunya tragedi 13 Mei yang telah merosakkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
"Jadi penting untuk kita mengekalkan semangat perpaduan yang ada yang mana saya rasa ia dapat dilakukan dengan berpaksikan al-Quran," katanya.
Menurutnya, masyarakat Islam perlu mengambil iktibar ayat daripada surah al-Hujurat dan al-Jumu’ah yang memberikan pengertian besar untuk dihayati khususnya membebaskan diri daripada nilai-nilai tidak baik.
Sementara itu program berkenaan melibatkan kira-kira 500 peserta daripada pelbagai agensi, pelajar sekolah termasuk 300 anggota Pengkalan Udara Sendayan.
Turut hadir, Mufti Negeri Sembilan, Prof Madya Datuk Dr Faudzinaim Badaruddin.
Beliau dalam ucapannya menyampaikan kisah tokoh kemerdekaan berkata, asas kepada kemerdekaan adalah menjaga semangat perpaduan berbilang kaum.
Katanya, perpecahan yang berlaku akan melemahkan ummah dan dalam konteks hidup di negara majmuk ini, ia adalah bukan halangan untuk hidup bersatu padu.
"Perbezaan itulah adalah keindahan ciptaan ALLAH dan ia bukan halangan untuk kita hidup bersama," katanya.