Koronavirus: Malaysia teruskan import makanan dari China

Salahuddin Ayub
Salahuddin Ayub
A
A
A

MARANG - Kerajaan tidak menghentikan import makanan dari China walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak koronavirus sebagai darurat kesihatan dunia.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, tiada keperluan sekatan dilakukan kerana virus koronavirus merebak dari manusia ke manusia bukan melalui makanan.

"Setakat ini tiada (sekatan) dan kita tidak ada import makanan dari Wuhan," katanya selepas melawat tanaman sayuran fertigasi milik Zuliadin Abdullah, peserta Rezeki Tani di Kampung Rusila, di sini hari ini.

Beliau berkata, antara barangan yang diimport dari negara China adalah potongan ayam, buah, sayuran terpilih dan semua makanan tersebut selamat dimakan.

Walaupun tiada sekatan katanya, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) yang bertanggungjawab mengawal pintu masuk negara akan mengadakan pemeriksaan secara berkala dan lebih ketat sebagai langkah berjaga-jaga.

"Kecuali kita dapati ada penemuan baharu (tentang koronavirus), kita akan ambil tindakan selanjutnya," katanya.

WHO awal pagi hari ini mengumumkan koronavirus yang telah mengakibatkan kematian 213 orang di China sebagai darurat kesihatan awam global apabila ia telah merebak luar dari negara China.

Lebih 8,100 kes positif koronavirus dilaporkan seluruh dunia. Virus ini pertama kali dikesan pada Disember tahun lalu di bandar Wuhan, China.

Artikel Berkaitan:

Di Malaysia, seramai lapan warga China disahkan positif koronavirus setakat ini.

ARTIKEL BERKAITAN Koronavirus: Jumlah kematian di China meningkat 213