X

Kindly register in order to view this article
!

Indeks jenayah turun hasil kolaboratif mantap PDRM, MAHB

Abdul Hamid (kiri) hadir pada Perbarisan Tamat Latihan Asas Pegawai dan Pembantu Keselamatan Penerbangan di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini. -Foto Bernama
A
A

SEPANG - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa komited untuk bekerjasama dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bagi memastikan tahap keselamatan penerbangan di semua lapangan terbang berada pada tahap yang terbaik.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, MAHB merupakan sebuah syarikat yang mempunyai jumlah pegawai dan anggota Polis Bantuan yang terbesar dengan kekuatan seramai 4,120 orang di seluruh negara.

Menurutnya, jumlah keanggotaan itu berjaya menyokong keperluan penugasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta balai-balai polis yang diwujudkan di semua lapangan terbang antarabangsa bagi mengawal, memelihara dan menjamin keselamatan di pintu masuk utama negara.

"Selain membantu kelancaran sistem operasi penerbangan, Polis Bantuan Malaysia Airports turut melaksanakan tugas-tugas utama PDRM seperti menguatkuasakan undang-undang, mengawal keselamatan penumpang, mencegah jenayah dan menjamin keselamatan kawasan lapangan.

"Dengan kolaboratif antara PDRM dan Aviation Security (AVSEC), IPD KLIA berjaya merekodkan penurunan indeks jenayah sebanyak 10.84 peratus, iaitu 74 kes bagi tahun 2019, berbanding 83 kes pada tahun 2018," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa Majlis Perbarisan Tamat Latihan Asas Pegawai dan Pembantu Keselamatan Penerbangan (Polis Bantuan) MAHB di Pekarangan Kompleks Bunga Raya, di sini hari ini.

Tambah Abdul Hamid, antara kes di lapangan terbang yang perlu diberi tumpuan adalah penyeludupan dadah serta kemasukan kumpulan pengganas.

Justeru, tahap kawalan keselamatan penerbangan di semua pintu-pintu masuk udara akan terus diperketat.

"PDRM juga amat menghargai inisiatif pihak MAHB dalam menganjur serta mengendalikan beberapa siri Eksesais Ancaman Keganasan di lapangan terbang sebagai persiapan untuk menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya ancaman terhadap industri penerbangan negara," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!