Pesona produk, 5.5 juta pelancong dijangka kunjungi Kelantan

Mohamaddin (kanan) bersama Ibrahim melihat carok batik yang dihasilkan di festival tersebut semalam.
Mohamaddin (kanan) bersama Ibrahim melihat carok batik yang dihasilkan di festival tersebut semalam.
A
A
A

KOTA BHARU- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya memberi jaminan yang Kelantan mungkin tidak akan berdepan dengan masalah kemasukan pelancong ke negeri ini sempena Tahun Melawat Kelantan (TMK) 2020.

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, hal ini berikutan terdapat banyak produk dan tarikan yang sedia ada membolehkan Kelantan dikunjungi.

“Dari segi produk pelancongan, kalau tengok hari ini saya boleh memberikan jaminan yang agak baik. Produk pelancongan agak banyak dan salah satunya batik.

“Usahawan di Kelantan yang mengeluarkan produk tekstil dan sebagainya di sini juga sangat maju,” katanya kepada media semalam.

Terdahulu beliau merasmikan Festival Kraf Tekstil Pantai Timur 2020 di Dataran Muhammadi.

Hadir sama, Timbalan Menterinya, Tuan Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ibrahim Ismail.

Kumpulan yang membuat persembahan bergambar kenangan bersama Mohamaddin selepas perasmian festival.
Kumpulan yang membuat persembahan bergambar kenangan bersama Mohamaddin selepas perasmian festival.

Mengulas lanjut, Mohamaddin juga memberitahu Kelantan sudah mempunyai aktiviti dimasukkan dalam kalendar TMK 2020 yang tersendiri dan diharapkan ia dapat diteruskan mengikut perancangan.

Artikel Berkaitan:

“Macam biasa Kelantan ada (kalendar TMK). Teruskan. Lagi banyak pelancong yang akan masuk. Tidak ada masalah,” katanya.

Kelantan menyasarkan sebanyak 5.5 juta pelancong bakal mengunjungi negeri ini sempena TMK 2020 yang bertemakan Keluarga, Makanan dan Festival.

Sementara itu, Mohamaddin juga berkata, sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2020, Kraftangan Malaysia turut menghasilkan lebih 1,000 rekaan produk kraf dari bidang kraf hasil rimba, hasil tanah, logam, termasuklah kraf tekstil lebih moden, kontemporari serta mengikut cita rasa pasaran selain mengekalkan identiti kraf Malaysia yang turut melibatkan beberapa segmen produk kraf lainnya.

“Pastinya negeri Kelantan juga tidak terkecuali menerima kehadiran pelancong dalam dan luar negara yang tinggi. Kelantan turut mempunyai kepelbagaian warisan, tempat bersejarah, eko-pelancongan, variasi makanan serta destinasi popular untuk membeli-belah.

“Kelantan ini juga telah terkenal dengan aktiviti seni dan budaya antaranya persembahan Dikir Barat, Wayang Kulit dan khususnya Mak Yong yang mendapat pengiktirafan dunia di bawah Master-Piece Of The Oral And Intengible Heritage Of Humanity oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu,” katanya.