Misi kayak solo 475km selesai
PEKAN - Bekas pesakit kanser darah atau Hodgkin Lymphoma Tahap 3, Mohd Zaki Yamani Azman, 35, berjaya menamatkan Ekspedisi Kayak Solo selepas 13 hari merentas Sungai Pahang sepanjang 475 kilometer(km) pada Selasa apabila memulakan misi itu pada 8 Ogos lalu.
Turut dikenali dengan panggilan Zaki Bijak, anak kelahiran Kampung Bukit Rang Dua, Pulau Tawar Jerantut itu tiba di lokasi terakhir di Pekan Riverfront kira-kira jam 1.15 petang selepas memulakan kayuhan dari Ulu Tembeling, Jerantut.
"Syukur berjaya tamatkan misi ini dalam tempoh dua minggu seperti dirancang dan kepuasan selepas berdepan pelbagai kesukaran, akhirnya selamat tiba di Pekan.
"Sejujurnya, saya sendiri tidak pernah sangka boleh selesaikan ekspedisi ini, namun berkat sokongan orang ramai banyak membantu untuk sampai ke tahap ini," kata anak bongsu daripada lima beradik itu.
Ujarnya, antara detik cemas dihadapi apabila beberapa kali tersangkut pada paip pam pasir di sini selain berdepan masalah cuaca.
Jelas Zaki lagi, cabaran terakhir ketika situasi air pasang di Sungai Pahang yang memaksanya menghubungi pihak bomba bagi membantu menarik kayaknya menongkah arus di kawasan Pulau Keladi di sini.
"Paling utama, misi kesedaran kanser kepada orang ramai tercapai khususnya di kalangan pejuang kanser untuk membuktikan kanser bukan tiket untuk mati," tambahnya.
Katanya, kayuhan itu juga sempena ulang tahun ke-10 dirinya dikesan menghidap kanser itu selain sempena Bulan Kemerdekaan.
Mengulas misi seterusnya, Zaki merancang untuk melakukan kembara bermotosikal jelajah Semenanjung Malaysia pada tahun depan.
Zaki yang mula menghidap kanser pada 2014 dan bebas sepenuhnya sejak beberapa tahun lalu turut dikenali dengan beberapa misi sebelum ini antaranya Jelajah Borneo dengan RM1 dan Jelajah Semenanjung secara tumpang (hitch hiking).