Kementerian Pertahanan sedia hantar pesawat ATM

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu -Foto Bernama
Menteri Pertahanan Mohamad Sabu -Foto Bernama
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Kementerian Pertahanan bersedia untuk menghantar pesawat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang masih berada di Wuhan, China yang kini dilanda wabak 2019 novel koronavirus.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata ketika ini pihaknya perlu menunggu arahan dan kelulusan daripada kerajaan pusat untuk membawa pulang rakyat Malaysia di sana.

"Kalau keputusan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di bawah Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) perlu bantuan kita (Kementerian Pertahanan) untuk bawa keluar rakyat (Malaysia) di sana, ATM bersedia untuk menghantar kapal terbang.

"Kita ada kapal terbang pengangkut C130 iaitu kapal terbang milik ATM untuk dihantar bagi bawa balik mereka, tapi setakat ini belum ada arahan lagi untuk berbuat demikian," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program perjumpaan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) bersama perwakilan Amanah kawasan Bukit Mertajam, di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Koronavirus: Kerajaan cadang bawa pulang rakyat dari Wuhan

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam yang menyatakan bahawa kerajaan sedia membawa pulang rakyat Malaysia yang masih berada di Wuhan.

Dr Mahathir berkata Malaysia akan berbincang dengan kerajaan China supaya rakyatnya yang tidak dijangkiti boleh pulang ke negara ini dengan pesawat, sebagaimana kerajaan Jepun dapat membawa pulang rakyatnya selepas mendapat kebenaran dari China sebelum ini.- Bernama

Artikel Berkaitan: