'Arwah ibu sering pesan supaya kerap ziarah orang susah' - Sanusi

Ibu kepada Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi, Allahyarham Meriam menghembuskan nafas terakhir pada usia 74 tahun. - Foto Facebook Muhammad Sanusi
Ibu kepada Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi, Allahyarham Meriam menghembuskan nafas terakhir pada usia 74 tahun. - Foto Facebook Muhammad Sanusi
A
A
A

SIK - Allahyarham Meriam Ahmad, 74, sering mengingatkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor supaya kerap menziarahi orang susah.

Muhammad Sanusi berkata, ibunya sentiasa berpesan supaya dia kerap menziarahi orang susah seperti mana dilakukannya sebelum menjadi Menteri Besar Kedah.

Beliau yang merupakan anak ke tujuh daripada 13 beradik berkata, pesanan dan nasihat itu sering ditekankan arwah setiap kali bertemu dengan dirinya.

"Arwah sememangnya suka bergurau namun tidak pernah lupa menasihati anak-anak.

"Kali terakhir saya bertemu arwah adalah minggu lalu dan saya sendiri tergerak hati untuk pulang ke kampung tiga kali berbanding kebiasaan hanya sekali seminggu," katanya.

Muhammad Sanusi (tengah) ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Pau, di sini, pada Khamis.
Muhammad Sanusi (tengah) ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Pau, di sini, pada Khamis.

Muhammad Sanusi berkata sedemikian ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Sungai Pau, di sini, pada Khamis.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri berkata, bapanya, Md Nor Taib,83, turut memberitahu ibunya kelihatan sihat dan sempat mengait buah rambutan untuk dibawa ke Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

"Pak saya kata mak cergas luar biasa, mungkin itu tanda-tanda dia (hendak pergi selamanya), selepas mak meninggal baru pak perasan," katanya.

Beliau menambah, ibu tercinta didapati pergi dalam keadaan tenang dan semua adik beradiknya berada sentiasa di sisi ibu mereka.

Muhammad Sanusi memberitahu, arwah ibunya tidak mempunyai penyakit lain kecuali masalah jantung sehingga menyebabkan arwah terkena strok dan rebah Isnin lalu.

Menurutnya, solat jenazah ibunya diadakan di Masjid al Ubudiah Sungai Pau, di sini selepas asar dan dikebumikan di tanah perkuburan kampung berkenaan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Meriam menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 9.40 pagi di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB),di sini, pada Khamis.

Perkara terbabit disahkan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kedah, Muhamad Mat Yakim melalui pesanan WhatsApp kepada pemberita.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!