Dah pecah rumah, dia tinggalkan najis pula

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan kegiatan pecah rumah dengan meninggalkan najis apabila menahan tiga individu termasuk seorang wanita warga Indonesia yang terlibat dengan beberapa kejadian jenayah itu di Bandar Tasik Puteri Kundang, Rawang.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Samsor Maarof berkata kesemua suspek berusia 34 hingga 37 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di Rawang dan Selayang dekat sini kira-kira 1 pagi tadi.

"Modus operandi kumpulan ini adalah menggunakan pemutar skru mengumpil tingkap rumah atau tingkap tandas sebelum masuk ke dalam rumah mangsa.

"Setelah mengambil barang-barang berharga, suspek akan membuang air besar di tempat kejadian bagi tujuan menakut-nakutkan mangsa seolah-olah disihir," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Kumpulan yang diketuai seorang lelaki dikenali sebagai 'Cicak' itu akan menjual barang-barang hasil pecah rumah kepada kenalan mereka dengan harga sekitar RM50 hingga RM100, katanya.

Samsor berkata suspek menyewa teksi untuk bergerak mencari sasaran rumah-rumah untuk melakukan jenayah tersebut dengan tujuan mengaburi polis daripada mengesan kegiatan mereka.

Beliau berkata kumpulan berkenaan mula aktif sejak awal tahun ini, dengan kegiatan berkenaan akan dilakukan pada tengah malam sehingga awal pagi di kawasan sekitar Bandar Tasik Puteri Kundang.

"Dengan tangkapan berkenaan, polis berjaya menyelesaikan tiga kes pecah rumah di kawasan itu. Ketiga-tiga suspek tidak bekerja dan mereka direman sehingga 16 Januari ini bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata seorang suspek lelaki mempunyai 12 rekod kesalahan lampau bersabit kes dadah, kes jenayah dan dikehendaki polis.

Salah seorang lelaki tersebut juga didapati positif dadah jenis syabu, katanya. - Bernama