Kanak-kanak lelaki lemas mandi kolam di Kuala Nerus
KUALA TERENGGANU - Seorang kanak-kanak lelaki lemas ketika mandi di kolam renang di sebuah resort atau tempat peranginan di Kuala Nerus petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa yang berusia empat tahun ditemukan seorang pengunjung dalam keadaan tidak sedarkan diri.
"Hasil siasatan awal, mangsa ketika itu mandi bersama abang dan kakaknya yang berusia 14 dan 12 tahun, manakala ibunya berada di meja berdekatan kolam sambil menjaga anak bongsu berusia setahun.
"Ibu mangsa kemudian bertanya keberadaan mangsa ketika anak sulungnya keluar dari kolam untuk minum air sebelum terdengar jeritan seorang pengunjung,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Beliau berkata, pengunjung berkenaan menjerit mencari ibu bapa mangsa sambil mendukungnya dan membawa ke tepi kolam untuk memberi bantuan pernafasan, bagaimanapun tiada sebarang tindak balas daripada mangsa.
"Mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Seberang Takir untuk pemeriksaan dan disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya. - Bernama