St George Continental Team tekad tebus kehampaan

Pelumba St George (depan) ketika beraksi pada LTdL 2019 bertekad lebih menyerlah pada LTdL 2020 kali ini.
Pelumba St George (depan) ketika beraksi pada LTdL 2019 bertekad lebih menyerlah pada LTdL 2020 kali ini.
A
A
A

DUA kali dipintas pada saat-saat akhir, St George Continental Team sekali lagi akan mempertaruhkan pakar pecut mudanya untuk menggapai kemenangan peringkat eksklusif yang ditunggu-tunggu pasukan benua dari Australia itu dalam penyertaannya di Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020.

Pada edisi 2019 lalu, pakar pecutnya, Blake Quick, 19, menduduki tempat kedua pada Peringkat 5 di Taiping dan sekali lagi pada Peringkat 8 di Pekan Kuah, masing-masing dipintas saat-saat akhir pakar pecut handalan Androni Giocattoli-Sidermec, Matteo Pelucchi dan Marco Benfatto.

Keputusan paling membanggakan St George setakat ini hanyalah ketika tampil kali pertama pada 2018 di mana Benjamin Dyball menduduki tempat ketiga keseluruhan, sebelum pelumba Australia itu berhijrah dan memenangi jersi kuning LTdL 2019, seterusnya disambar World Team, NTT Pro Cycling Team untuk musim ini.

Tidak hairanlah, pasukan yang ditubuhkan pada 2015 dan dibimbing Brett Dutton ini menyenaraikan empat pelumba yang beraksi tahun lalu, dalam usahanya mengejar kemenangan peringkat dan memperbaiki kedudukan individu keseluruhan berbanding edisi 2019.

Selain Quick, St George turut membariskan Michael Vink, Connor Reardon dan Matthew Zenovich selain menghantar dua lagi pakar pecut muda untuk membantu Quick ke garisan penamat iaitu James Harvey dan Jay Dutton.

Dan pastinya, kelibat Quick yang semakin meniti kematangan pasti semakin jelas akan dapat dilihat kelompok depan dalam henjutan beramai-ramai ke garisan penamat pada setiap tujuh peringkat landai yang disajikan dalam laluan LTdL 2020 ini, seterusnya berada dalam perebutan jersi hijau Raja Pecut.

Quick berada pada prestasi semakin baik dan penyertaan memanas badannya di New Zealand Classics baru-baru ini menghasilkan podium tempat kedua pada Peringkat 3. Harvey dan Dutton dijangka akan membantu membawa Quick ke barisan depan menjelang pecutan ke garisan penamat.

Mengetuai cabaran individu keseluruhan pula adalah dua pendaki yang turut beraksi pada LTdL 2019 lalu iaitu pelumba berpengalaman berusia 28 tahun dari Australia, Vink yang sudah tiga tahun bersama St George dan Zenovich, bagi mengambil alih tempat rakan sepasukan Timothy Cameron yang tidak disenaraikan dalam LTdL kali ini.

Artikel Berkaitan:

Cameron menduduki tangga ke-21 keseluruhan dan ke-19 di Genting pada tahun lalu dan kali ini Zenovich yang menamatkan kayuhan di tempat ke-37 di Genting, menggalas tugas besar bersama-sama Vink pada pendakian setinggi 1,400 meter dari aras laut ke puncak pusat peranginan tanah tinggi terkenal itu.