Jun Hao tekad tebus kesilapan di Malaysia Masters

Jun Hao tekad memberikan aksi terbaik pada Kejohanan Malaysia Masters minggu depan. - Foto Bernama
Jun Hao tekad memberikan aksi terbaik pada Kejohanan Malaysia Masters minggu depan. - Foto Bernama
A
A
A

SETELAH terlepas tiket final perseorangan lelaki pada Sukan SEA Kemboja 2023 di Phnom Penh, pemain kebangsaan, Leong Jun Hao tidak sabar untuk menebus kesilapannya pada Kejohanan Malaysia Masters 2023 minggu depan.

Pemain ranking ke-64 dunia itu berkata, beliau berharap dapat melepasi undian utama Malaysia Masters kerana dijadualkan beraksi pada pusingan kelayakan pertama dalam kejohanan yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, dari 23 hingga 28 Mei.

Walaupun berjaya meraih gangsa dalam acara perseorangan lelaki, pemain berusia 23 tahun itu percaya kemenangannya ke atas juara bertahan Malaysia Masters, Chico Aura Dwi Wardoyo, 21-16, 21-13, pada perlawanan akhir acara berpasukan lelaki, di sini Khamis lepas, telah meningkatkan keyakinannya untuk berdepan pemain ranking tinggi pada masa akan datang.

Mengenai prestasi keseluruhannya pada temasya dwitahunan di Kemboja itu, pemain kelahiran Kuala Lumpur itu berkata, pencapaian di sini masih baik kerana beliau berjaya membantu Malaysia meraih perak dalam acara berpasukan lelaki selepas tewas kepada Indonesia 1-3, pada perlawanan akhir baru-baru ini.

"Saya akan bincang dengan jurulatih selepas ini untuk perbaiki kekurangan saya di sini. Saya juga berharap untuk lebih konsisten selepas ini," katanya ketika ditemui di Dewan Badminton Morodok Techo di sini.

Dalam pada itu, seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Lee Shun Yang, cukup gembira dengan prestasinya di Kemboja selepas mengalami permulaan kurang baik dalam temasya sukan itu, apabila tewas dua perlawanan dalam acara berpasukan.

Pemain berusia 21 tahun itu tewas di tangan pemain Vietnam Le Duc Phat di suku akhir, 13-21, 21-16, 7-21 dan Christian Adinata dari Indonesia, 17-21, 9-21, dalam perlawanan akhir berpasukan lelaki.

Shun Yang juga berharap dapat meningkatkan kawalan mentalnya dalam usaha memastikan beliau mampu menangani tekanan terutama dalam mengutip mata penting di gelanggang.

Pemain nombor 95 dunia itu juga meletakkan sasaran untuk mara sekurang-kurangnya ke suku akhir bagi tugasan seterusnya di Terbuka Thailand 2023 di Bangkok dari 30 Mei hingga 4 Jun ini.

Jun Hao dan Shun Yang berkongsi pingat gangsa selepas tewas kepada lawan masing-masing dari Indonesia, Christian Adinata dan Chico di separuh akhir, semalam.

Jun Hao yang bermain dengan baik bagaimanapun gagal meneruskan momentum kemenangan selepas tunduk 21-19, 21-12 kepada Adinata manakala Shun Yang tewas kepada Chico 15-21, 18-21. - Bernama