TPM puas hati langkah pencegahan di KLIA2

Dr Wan Azizah ketika melawat KLIA2 hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Dr Wan Azizah ketika melawat KLIA2 hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

SEPANG - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berpuas hati dengan langkah-langkah pencegahan yang diambil pihak pengendali lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam mengawal jangkitan 2019 novel koronavirus, bermula dari pintu masuk negara.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat meluangkan masa kira-kira sejam meninjau perjalanan dan kelancaran pengendalian sistem pengimbas haba yang terletak di KLIA2 selain turut mengedar penutup hidung dan mulut, serta ‘hand sanitizer’ kepada pegawai polis, imigresen dan kakitangan lapangan terbang.

"Saya datang untuk melihat sendiri, bagaimana pasukan dan bagaimana (langkah) menyaring pelawat-pelawat dan pengembara dari China.

"Alhamdulillah saya tengok mereka kerja 24 jam, gigih, dan bagaimana mereka menghadapi risiko menjadi ‘frontliner’ di sini,... kita nak bagi keyakinan kepada pelawat-pelawat yang datang ke Malaysia," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye; Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat.

Ditanya mengenai peruntukan tambahan untuk membeli pengimbas haba, Dr Wan Azizah berkata, ia sedang diteliti Kementerian Kewangan.

"Kementerian Kewangan memang memberikan kita perhatian... kalau kita perlukan, tetapi buat masa ini kita masih lagi boleh saring mereka (pelawat) yang masuk (ke dalam negara),” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: