Lima warga Indonesia terlibat kes pecah rumah ditahan

Pondok yang didiami kesemua warga asing berkenaan.
Pondok yang didiami kesemua warga asing berkenaan.
A
A
A

KOTA TINGGI - Polis menahan lima lelaki warga Indonesia yang dipercayai aktif melakukan kegiatan pecah rumah di sekitar daerah ini sejak dua minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Ahsmon Bajah berkata, kesemua suspek berusia 33 hingga 47 tahun itu ditahan di sebuah pondok di Kampung Sri Makam Tujuh, Jalan Bandar Tenggara–Sungai Sayong di sini kira-kira jam 6 petang semalam.

Beliau berkata, ketika ditahan, kesemua warga asing terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Siasatan awal mendapati kumpulan tersebut bergiat aktif sejak dua minggu lalu. Modus operandi yang digunakan pula ialah melakukan pecah rumah sekitar awal pagi iaitu antara jam 2 hingga jam 5 pagi.

“Hasil barang curi juga dipercayai dikongsi antara mereka dan ada juga sebahagiannya dijual kepada warga Indonesia yang lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ahsmon berkata, pemeriksaan di lokasi serbuan juga turut membawa kepada penemuan barangan kes yang dipercayai mempunyai kaitan dengan beberapa kejadian pecah rumah sebelum ini.

“Kita juga turut menemui pelbagai peralatan pecah rumah, telefon bimbit dan beberapa dokumen peribadi dipercayai hasil pecah rumah.

“Dengan tertumpasnya sindiket ini, kita percaya sebanyak 15 kes pecah rumah yang membabitkan jumlah kerugian sebanyak RM40,360 telah berjaya diselesaikan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, hasil semakan bagaimanapun mendapati kesemua suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau selain ujian saringan air kencing juga menunjukkan kesemua suspek adalah bebas daripada penyalahgunaan dadah.

“Tangkapan kini ditahan reman selama 14 hari bermula semalam (28 Jan) hingga 10 Februari ini untuk membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/53 dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan - Kesalahan Kecil 1955.