'Tolonglah bina bonggol dan jejantas'

Penduduk Olak Lempit berhimpun secara aman mendesak kerajaan membina kemudahan jejantas di Jalan Banting-Dengkil berhadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Olak Lempit.
Penduduk Olak Lempit berhimpun secara aman mendesak kerajaan membina kemudahan jejantas di Jalan Banting-Dengkil berhadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Olak Lempit.
A
A
A

KUALA LANGAT - [DIKEMASKINI] Kira-kira 300 penduduk Olak Lempit, Banting berhimpun secara aman hari ini mendesak kerajaan membina kemudahan jejantas di Jalan Banting-Dengkil berhadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Olak Lempit.

Penduduk mendakwa lebih 10 kejadian kemalangan membabitkan kematian termasuk sebahagian besar mangsa adalah pelajar sekolah berlaku di laluan tersebut.

Terbaru pada 21 Januari lalu, seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu maut manakala rakannya patah tangan selepas dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan di Kilometer 11 Jalan Banting-Dengkil.

Kejadian jam 6.40 pagi itu berlaku ketika kedua-dua mangsa berjalan kaki menyeberangi jalan untuk ke perhentian bas bagi menunggu bas sekolah.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar Tingkatan Satu maut dirempuh ketika melintas

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Warga Prihatin Olak Lempit, Mohd Bakar Mohd Baharuddin berkata, penduduk berkumpul di laluan utama berkenaan untuk meminta kerajaan membina jejantas dan bonggol.

Mohd Bakar
Mohd Bakar

Menurutnya, permohonan sudah dibuat sebelum ini, namun alasan diterima mengecewakan apabila kemudahan dikatakan tidak boleh dibina atas alasan laluan tersebut adalah jalan persekutuan.

Artikel Berkaitan:

“Kami dah rujuk perkara ini dengan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), pihak itu kata tiada masalah bina bonggol dan jejantas di situ.

“Penduduk cuma mahu bonggol, jejantas, lampu jalan dan kamera litar tertutup (CCTV) dibina di sini untuk keselamatan,” katanya.

Penduduk turut membawa replika pengusung jenazah di tepi laluan utama itu bagi menggambarkan kerisauan mengenai kejadian kemalangan maut yang berlaku di situ.

Laluan di Kilometer 31, Jalan Banting-Dengkil didakwa sesak dengan kenderaan dan membahayakan nyawa penduduk terutama pelajar sekolah.
Laluan di Kilometer 31, Jalan Banting-Dengkil didakwa sesak dengan kenderaan dan membahayakan nyawa penduduk terutama pelajar sekolah.

Mohd Bakar berkata, pihaknya sudah mengumpul lebih 1,000 tanda tangan penduduk sejak tiga hari lalu dan akan menghantar petisyen kepada lima agensi termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Miros, pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), pejabat Ahli Parlimen Sepang dan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).

Zaidi
Zaidi

Sementara itu, bapa kepada pelajar yang maut, Zaidi Zainal Abidin, 44, berkata, pelaku yang melanggar anaknya, Allahyarham Nur Aida Rafhanah Zaidi, 13, masih belum ditahan sehingga kini.

Menurutnya, keluarganya termasuk isteri dan anak-anaknya yang lain masih bersedih dengan kejadian yang menimpa anak sulungnya itu.

“Anak-anak saya selalu tanya mana kakak dia. Saya sendiri pun kali terakhir jumpa arwah petang sehari sebelum kejadian kerana bekerja, memang sedih sangat.

“Adik-adik arwah pun masih terpaksa lintas jalan yang sama untuk ke sekolah. Saya minta binalah jejantas ini untuk keselamatan anak-anak penduduk pada masa hadapan,” katanya.

Penduduk, Safarin Ijam, 41, berkata, anaknya yang turut dirempuh dalam kejadian sama masih trauma apabila melihat rakan karib sendiri maut dirempuh kereta.

Menurutnya, anaknya, Aina Safiyah,13, mengalami patah tangan kanan akibat kejadian itu.

“Saya bimbang kerana anak saya perlu lintas jalan itu juga untuk ke sekolah. Tolonglah dengar rintihan mengenai isu keselamatan kami ini,” katanya.

Penduduk, Mohd Rosli Basuni, 60, berkata, apa yang dikesalkan pihaknya permohonan jejantas sudah dibuat sejak 30 tahun lalu

Namun katanya, sehingga lima kali ketua kampung bertukar, kemudahan itu masih belum dibina.

“Dari jalan sini belum banyak kenderaan hinggalah keadaannya sudah sesak, kita dah minta kemudahan itu tapi tak ada apa-apa tindakan,” katanya.

Sutrisno
Sutrisno

Penduduk, Sutrisno Sadikon pula berkata, jika tiada tindakan diambil dalam tempoh dua minggu lagi, penduduk sendiri akan membina bonggol di laluan tersebut.

Katanya, ia berikutan penduduk sudah tidak sabar lagi dengan kejadian kemalangan yang berlaku di laluan itu sejak puluhan tahun lalu.

Menurutnya, anaknya sendiri pernah koma 15 hari selepas dirempuh kenderaan ketika melintas di laluan tersebut.

Kira-kira 300 penduduk Olak Lempit berhimpun secara aman hari ini mendesak pihak bertanggungjawab mengambil tindakan serius bagi menangani isu kemalangan maut di kawasan itu.
Kira-kira 300 penduduk Olak Lempit berhimpun secara aman hari ini mendesak pihak bertanggungjawab mengambil tindakan serius bagi menangani isu kemalangan maut di kawasan itu.

“Kejadian pada 2007 itu berlaku ketika anak perempuan saya, Siti Azlin Hasliha yang ketika itu baru darjah tiga pulang dari sekolah. Selain koma dia patah tangan, tulang rusuk dan kaki.

“Saya minta tolonglah bina bonggol dan jejantas... jangan sampai orang kampung bina sendiri kalau lebih setengah bulan tiada tindakan,” katanya.