'Tak perlu saman' - Nazree

Nazree bersama ahli PKR yang menyatakan sokongan solidariti terhadap Zuraida di Royale Bintang, Seremban hari ini.
Nazree bersama ahli PKR yang menyatakan sokongan solidariti terhadap Zuraida di Royale Bintang, Seremban hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Kemelut melibatkan pemimpin dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) hingga berlarutan dengan tindakan saman dilihat boleh memberi kesan kepada parti pada masa akan datang.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Nazree Yunus berkata, sehubungan itu seelok-eloknya sebarang permasalahan yang timbul antara pimpinan parti tersebut diselesaikan sahaja di luar mahkamah.

"Tidak dinafikan dalam parti mungkin ada prasangka dan pandangan berbeza tetapi pandangan berbeza itu perlu ditangani di luar mahkamah. Itu sebaiknya," kata Nazree ketika ditemui selepas mengetuai himpunan solidariti bersama Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin di Royale Bintang, Seremban hari ini.

Kira-kira 50 ahli PKR dari Cabang Rembau, Kuala Pilah,Tampin, Port Dickson, Jelebu, Jempol dan Seremban hadir bagi menyatakan sokongan solidariti mereka terhadap Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Hadir sama, Ketua Cabang Rembau, R Tanggam; Ketua Cabang Kuala Pilah, Rosli Omar; Ketua Cabang Jempol, Karip Salleh dan Ketua Wanita Rembau, Bathmawaty.

Nazree
Nazree

Tegas Nazree, mereka mendukung kepimpinan dan sumbangan Zuraida selaku Naib Presiden selama ini kerana pemimpin itu telah menonjolkan prestasi cemerlang baik dalam parti mahupun kerajaan.

“Parti dan perjuangan harus dikukuhkan melalui muafakat, perkongsian kepakaran serta khidmat. Ia tidak boleh dilakukan melalui tindakan pemecatan atau membuang pimpinan serta anggota.

Artikel Berkaitan:

“Kami juga menolak sebarang usaha untuk memecat Zuraida,” katanya.

Semalam, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan, Zuraida bukan hanya menerima surat tunjuk sebab atas salah laku disiplin malah menerima surat saman daripadanya.

Menurut Saifuddin, surat tunjuk sebab itu dikeluarkan Lembaga Disiplin PKR manakala surat saman dikeluarkan atas dakwaan Zuraida mengeluarkan pertuduhan fitnah terhadapnya.

Pada 18 Januari lalu, Zuraida diberi tempoh 14 hari untuk menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan kepadanya atas dakwaan salah laku disiplin.

Lembaga Disiplin PKR dilaporkan telah memulakan siasatan pelbagai laporan salah laku membabitkan ahli dan pemimpin kanan partinya termasuk Zuraida dipercayai berkaitan Kongres Nasional PKR 2019 di Melaka pada Disember lalu.