PRK Nenggiri: Anak muda masuk hutan cari buluh pasang bendera BN
GUA MUSANG - Sekumpulan anak muda sanggup meredah hutan mencari buluh untuk memasang bendera Barisan Nasional (BN) sepanjang tempoh berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Timbalan Ketua Pemuda UMNO Pusat Daerah Mengundi (PDM) SEDC Ladang Sungai Terah, Raja Mohd Iskandar Raja Ibrahim, 27, berkata, langkah itu bertujuan membangkitkan semangat bagi memastikan kemenangan berpihak kepada calon BN.
"Bila tengok bendera BN berkibar di tepi-tepi jalan dalam jumlah yang banyak, semangat perjuangan kami menjadi lebih membara untuk melakukan perubahan pada PRK kali ini.
"Sebagai anak muda, inilah masa terbaik untuk melakukan perubahan dengan memilih pemimpin yang mampu membela nasib rakyat," katanya kepada Sinar Harian.
Menurut dia, perasaan penat masuk ke dalam hutan akan hilang sebaik sahaja melihat bendera berkibar.
Ujarnya, pemasangan bendera akan dilakukan seberapa banyak yang mungkin di kawasan-kawasan strategik bagi membangkitkan semangat perubahan.
Raja Mohd Iskandar berkata, sudah tiba masanya Nenggiri kembali semula ke pangkuan BN supaya lebih banyak manfaat dapat dinikmati.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati perang bendera di Nenggiri semakin hangat terutama di kawasan-kawasan kampung.