X

Kindly register in order to view this article
!

Manfaatkan detoks 'asli' dalam badan

AMALAN minum air detoks tetap mempunyai kebaikan dan risikonya jika diambil secara berlebihan.
A
A

Proses berlaku sendiri, tidak perlu terlalu obses amalan detoks

ANDA MUSYKIL DOKTOR JAWAB

Soalan 1:

DOKTOR, saya sering kali mendengar amalan melakukan detoksifikasi atau detoks bagus untuk menjaga kesihatan tubuh agar tetap sihat.

Saya ingin bertanya, bolehkah saya memilih air detoks sebagai sumber utama diet saya? Apakah kesannya jika saya terlalu obses dengan amalan detoks itu? Mohon penjelasan doktor.

- INGIN TAHU, SALINA ZAIDI, 28, KUALA LUMPUR

Jawapan:

Puan, terima kasih atas soalan tersebut. Tidak dinafikan sejak kebelakangan ini minuman detoks menjadi pilihan dan semakin popular dalam kalangan masyarakat.

Untuk makluman puan, antara tujuan amalan yang sering dikaitkan dengan pengambilan minuman tersebut adalah penyingkiran toksin dari dalam badan dan meningkatkan tenaga.

Lebih menarik, ia membantu kadar penurunan berat badan. Bagaimanapun, terdapat beberapa kebenaran yang perlu diketahui di sebalik air detoks berkenaan. Air sememangnya merupakan sumber utama dan penting untuk badan.

Pun begitu, perlu diketahui adakah sistem kumuhan atau pencernaan memerlukan air detoks dan benarkah ia mampu menyahtoksikkan kotoran dalam badan? Suka untuk saya kongsikan, tubuh manusia mempunyai sistem tersendiri dalam proses penyingkiran toksin.

Sistem pencernaan dan penyingkiran kumuhan sedia ada dalam badan diciptakan lengkap. Sistem tersebut mampu memainkan peranannya dalam proses keseimbangan elektrolit badan secara keseluruhan. Selain itu, ia juga dapat mengeluarkan toksin secara semula jadi tanpa bantuan daripada mana-mana jus atau teh.

Minum air

TOKSIN di dalam badan boleh dikeluarkan secara semula jadi dengan minum air yang mencukupi dan pengambilan serat.
TOKSIN di dalam badan boleh dikeluarkan secara semula jadi dengan minum air yang mencukupi dan pengambilan serat.

Hakikatnya, tubuh tidak semestinya memerlukan kehadiran air detoks.

Kaedah terbaik adalah dengan melazimkan pengambilan jumlah air yang mencukupi. Amalan pengambilan serat yang tinggi sudah memadai dalam membantu sistem pencernaan agar berfungsi seperti biasa.

Apa pun, amalan meminum air detoks tetap mempunyai kebaikan dan risikonya yang tersendiri jika diambil secara berlebihan.

Tidak dinafikan air detoks berupaya membekalkan nutrisi tambahan dan memberi manfaat yang baik seperti membantu penurunan berat badan dan menggalakkan kesihatan kulit. Pun demikian, buat individu yang sering mengamalkan air detoks secara berlebihan dikhuatiri akan menyebabkan ketidakseimbangan elektrolit.

Hal itu seterusnya mampu mengganggu sistem tubuh untuk berfungsi secara optimum.

Belum ada ujian klinikal bukti pad pelekat turunkan berat

Soalan 2:

Doktor, saya selalu melihat rakan sebilik mengamalkan pelekat tapak kaki. Katanya ia berfungsi untuk mengeluarkan toksin dari dalam tubuh selain menurunkan berat badan.

Benarkah perkara tersebut doktor?

PAD pada kaki yang bertukar warna dikatakan akibat toksik keluar dari tubuh.
PAD pada kaki yang bertukar warna dikatakan akibat toksik keluar dari tubuh.

- RAKAN PRIHATIN, AINA BALQIS HAMDAN, 24, GOMBAK

Jawapan:

Puan, mengenai soalan yang diajukan, saya yakin dan pasti ramai pernah mendengar tentang perihal pelekat tapak kaki seumpamanya. Ia pernah menjadi trend suatu ketika dahulu.

Pad tersebut diletakkan pada tapak kaki bertujuan menyingkirkan toksin dalam badan.

Dikatakan, pad tersebut mampu menyerap toksin dalam masa semalaman lalu bertukar menjadi gelap apabila dipakai oleh pengguna.

Ajaib bukan?

Untuk makluman puan, kebiasaannya komponen yang terdapat di dalam pad berkenaan mempunyai kandungan fenol yang tinggi. Ia terhasil daripada penguraian lignin iaitu salah satu komponen dalam dinding sel tumbuhan. Komponen tersebut sebenarnya mempunyai ciri penyerapan air yang tinggi.

Jika komponen tersebut terdedah di ruang udara, maka ia akan bertukar menjadi melekit hasil tindak balas udara yang lembap.

Di samping itu, pad berkenaan biasanya mempunyai gabungan komponen lain seperti daun teh atau bahan-bahan yang boleh menimbulkan warna gelap apabila basah.

Ringkasnya, pad yang dipakai pada tapak kaki akan bertukar warna menjadi gelap bukan kerana toksin dari dalam tubuh, tetapi akibat bahan-bahan yang terdapat pada pad tersebut.

Sehingga kini, belum ada ujian klinikal yang mampu membuktikan pad seperti itu mempunyai peranan dalam penjagaan kesihatan diri.

DR Muhammad Syahir Mohamad Isa.
DR Muhammad Syahir Mohamad Isa.

PROFIL

Dr Muhammad Syahir Mohamad Isa

Pegawai Perubatan Umum Hospital Seri Manjung, Perak