Koronavirus: Seorang ditahan sebar berita palsu

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang suspek yang disyaki menyebarkan kandungan berita palsu mengenai penularan koronavirus.

Menurut kenyataan SKMM hari ini, suspek berumur 34 tahun itu ditahan di kediamannya di Bangi, Selangor pada jam 4 petang semalam bagi membantu siasatan terhadap satu kandungan yang dimuat naik di laman Facebook pada 26 Januari 2020.

“Kandungan mengenai koronavirus itu didapati palsu. Turut dirampas adalah telefon bimbit dan kad sim milik suspek yang dipercayai digunakan untuk memuat naik berita palsu tersebut di laman Facebook terbabit.

“SKMM dan PDRM mengambil serius perbuatan ini dan sedang giat mengesan tiga lagi suspek untuk membantu siasatan. lni menunjukkan ketegasan kedua-dua pihak dalam memastikan tindakan sewajarnya dikenakan kepada mereka yang memulakan, berkongsi dan menyebarkan berita palsu melalui platform media sosial,” kata kenyataan itu.

Menurut SKMM lagi, suspek disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi tempoh satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas disabitkan.

Katanya, suspek disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi tempoh satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas disabitkan.

“Tindakan tegas ini adalah salah satu usaha SKMM dan PDRM mengawal penyebaran berita tidak sahih mengenai koronavirus oleh individu yang tidak bertanggungjawab sehingga mampu mengganggu-gugat kestabilan negara dan ketenteraman awam,” katanya.

Isnin lalu, SKMM dan PDRM telah memberi amaran bahawa tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka yang menyebarkan kandungan khabar angin atau berita yang tidak sahih mengenai penularan koronavirus di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan itu lagi, penyebar khabar angin atau berita dengan niat hendak menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam pula boleh didakwa di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan. - Bernama