Tiga hari hilang, Muhammad Effzaldanish sudah pulang ke rumah

Pelajar dilaporkan hilang, Muhammad Effzaldanish Mohd Effendy, telah selamat pulang ke rumah keluarga.
Pelajar dilaporkan hilang, Muhammad Effzaldanish Mohd Effendy, telah selamat pulang ke rumah keluarga.
A
A
A

TANGKAK - Remaja lelaki berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang pada Ahad lalu telah pulang dalam keadaan selamat ke rumah keluarga di Jalan Kerayong, Rumah Rakyat 1 Pagoh, di sini, pada Rabu.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, kepulangan Muhammad Effzaldanish Mohd Effendy, 14, dilaporkan keluarga kepada pihak polis pada kira-kira jam 11.30 pagi.

Katanya, daripada siasatan awal dan pemerhatian luaran remaja terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan yang serius.

“Keluarga memaklumkan remaja berkenaan pulang sendiri ke kediamannya. Ketika ditanya, remaja itu memaklumkan dia berada di kawasan berdekatan sepanjang dilaporkan hilang.

"Namun Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar sedang melaksanakan siasatan terperinci berhubung kehilangan remaja berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Taman Angkat Amanita 2024 di Dewan Putra Padang Lerek, di sini, pada Rabu.

Menurut Kumar, pemerhatian ibu bapa terhadap anak-anak termasuk dari segi pergi dan pulang sekolah serta pergaulan mereka cukup penting bagi mengelak kejadian kehilangan kanak-kanak.

“Bagi kejadian kehilangan kanak-kanak yang semakin kerap berlaku sekarang ini, saya menasihatkan kepada ibu bapa perlu pastikan anak-anak sentiasa dalam perhatian dan pemerhatian mereka agar kejadian seperti ini tidak berlaku.

Artikel Berkaitan:

"Begitu juga dengan setiap pergerakan anak-anak perlu diambil tahu, termasuk pergerakan pergi dan balik ke sekolah, berhubung dengan pihak sekolah serta pergaulan mereka," katanya.

Sebelum itu, Muhammad Effzaldanish yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Alauddin Riayat Shah 1, Pagoh dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas tamat sesi persekolahan pada Ahad.

Kehilangan anak tunggal itu disedari oleh neneknya, Jaminah Shari, 90, sebelum meminta bantuan cucu lain mencarinya di sekolah serta kawasan sekitarnya.

Menurut sepupunya, Siti Nurhaliza, pada hari kehilangannya, Effzaldanish berjalan ke sekolah yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!