KATS kumpul data syarikat industri elak pencemaran air

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr Xavier Jayakumar ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan dan Pemantauan Pencemaran Sumber Air di kementeriannya hari ini. - Foto Bernama
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr Xavier Jayakumar ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan dan Pemantauan Pencemaran Sumber Air di kementeriannya hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) mempergiatkan usaha mengumpul data syarikat industri bagi mengekang pencemaran sumber air di Selangor.

Menterinya, Datuk Dr Xavier Jayakumar berkata, pihaknya telah mengarahkan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) mengambil langkah berkenaan.

"Kita telah minta IWK untuk mereka dapatkan data-data terkini syarikat berkenaan termasuklah jenis perusahaan yang diusahakan di setiap kawasan perindustrian," katanya.

Menurutnya, dengan pengumpulan data tersebut, sekiranya berlaku pencemaran di loji IWK, tindakan segera boleh diambil terhadap pihak berkenaan.

"Bukan setakat IWK, tetapi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Air Selangor juga perlu data ini," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kali pertama Jawatankuasa Tindakan dan Pemantauan Air, Tanah dan Sumber Asli, di sini hari ini.

Beliau berkata, beberapa ketetapan telah diputuskan di dalam mesyuarat tersebut antaranya Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) dipinda untuk memantapkan aspek penguatkuasaan.

"Pindaan ini dijadualkan dibentang di Dewan Rakyat pada Oktober depan.

"Ini termasuklah kuasa menahan orang dan merampas kenderaan yang disyaki mencemar lurang (lubang periksa) kumbahan serta menaikkan penalti bagi kesalahan pembuangan kumbahan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jawatankuasa yang dipengerusikan olehnya dianggotai oleh wakil Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), PDRM, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) selain beberapa wakil negeri serta pihak- pihak berkepentingan.

Xavier berkata, SPAN akan turut menguatkuasakan syarat bagi pengeluar permit kepada kontraktor yang melaksanakan kerja-kerja pembentungan merangkumi 'vehicle monitoring system'.

"Bayaran terhadap kontraktor bagi sesebuah projek akan diberikan selepas kesemua kerja- kerja diselesaikan dan mendapat sijil pengesahan daripada IWK," katanya.