X

Kindly register in order to view this article
!

Nyawa lebih utama daripada impak ekonomi koronavirus: Lim Guan Eng

Lim Guan Eng - Foto Bernama
A
A

GEORGETOWN - Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini menegaskan bahawa aspek nyawa perlu menjadi intipati utama dalam usaha menangani jangkitan Koronavirus berbanding impak penyakit itu terhadap ekonomi negara.

Guan Eng berkata, pada masa ini nyawa, keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia menjadi agenda utama dan langkah perlu difokuskan kepada mengatasi permasalahan koronavirus itu terlebih dahulu.

"Tentu ada impaknya kepada ekonomi, tetapi biarlah kita mengatasinya dahulu dan baru selepas itu kementerian kewangan akan bincangkan impaknya terhadap ekonomi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2020 Parlimen Bukit Bendera di sini hari ini.

Dalam pada itu Guan Eng turut meminta semua rakyat Malaysia mengikuti garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan serta tidak terpengaruh dengan berita palsu berhubung laporan koronavirus.

"Janganlah percaya berita-berita palsu, kerana ini akan menjadikan keadaan lebih huru-hara dan porak-poranda. Marilah kita terus bersatu untuk menghadapi dan mengatasi cabaran gejala koronavirus ini. Sekiranya kita percaya kepada berita palsu ini, ia akan menjejaskan kehidupan harian.

Percayalah kepada kepakaran profesionalisme doktor-doktor, pakar-pakar, jururawat serta kementerian kesihatan. Mereka telah menjalankan tugas mereka dengan baik dan Kementerian Kewangan akan memberikan sepenuhnya sokongan kepada Kementerian Kesihatan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Lawan 'viral' dalam episod koronavirus

Terdahulu Guan Eng berkata, Kementerian Kewangan akan memberikan segera peruntukan tambahan untuk 12 pengimbas suhu seperti dinyatakan oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Kementerian Kewangan akan berbuat apa sahaja seperti yang dipinta kementerian kesihatan demi memastikan rakyat dan negara selamat dan bebas daripada virus itu.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan bersama agensi yang terlibat Jumaat ini untuk menggariskan langkah-langkah yang akan diambil bagi mencegah jangkitan berkenaan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf