The Malaya barakan semangat juang atlet Malaysia di Paris

Busana juga menekankan cetakan motif songket sebagai tanda pengiktirafan buat atlet negara di Paris 2024.
Busana juga menekankan cetakan motif songket sebagai tanda pengiktirafan buat atlet negara di Paris 2024.
A
A
A

THE Malaya, hasil cetusan ilham dihasilkan pereka fesyen tanah air, Rizman Ruzaini untuk kontinjen Malaysia di upacara pembukaan Sukan Olimpik 2024 di Paris dijangka menjadi tumpuan dunia pada 27 Julai ini.

Menurut Rizman Nordin, gaya sopan busana itu dipadankan dengan kelubung yang sinonim dengan wanita Malaya.

Inspirasi baju teluk belanga pula dipilih sebagai tanda junjungan kasih buat Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, yang berasal dari Johor.

“Dari segi warna pula, kami memilih warna hijau zaitun dengan motif keemasan untuk menjentik aura klasik dan apabila berada di bawah pantulan cahaya, ia memancarkan kesan keemasan sebagai tanda simbolik harapan untuk para atlet kita membawa pulang pingat emas untuk Malaysia.

“Ia bagaikan melihat sebutir belian yang digilap berkilau dan kemudiannya diikat dengan emas dan dijadikan cincin di jari.. sungguh cantik dan sangat sempurna," ujar Rizman.

Warna hijau zaitun dengan motif keemasan dipilih untuk menjentik aura klasik dan apabila berada di bawah pantulan cahaya.
Warna hijau zaitun dengan motif keemasan dipilih untuk menjentik aura klasik dan apabila berada di bawah pantulan cahaya.

Menurut Rizman, koleksi The Malaya turut menekankan cetakan motif songket sebagai tanda pengiktirafan kepada atlet-atlet Malaysia kerana songket mempunyai nilai sejarah yang tinggi sebagai fabrik warisan agung turun-temurun.

"Rizman Ruzaini meletakkan nilai atlet negara pada kedudukan yang tertinggi.. setinggi perjuangan mereka untuk membawa pulang pingat emas nanti. Kami turut mempersembahkan cetakan motif songket ke atas busana sebagai pengiktirafan kami buat mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Rizman, songket mempunyai nilai sejarah yang tinggi sebagai fabrik warisan agung turun-temurun, kehalusan tenunan dan kerumitan motif songket menggambarkan pangkat dan kedudukan bangsawan.

“Scarf yang kami cipta mewakili semangat patriotik sebagai rakyat Malaysia dan (kami) taburkan tudung ini dengan corak nukilan khas tentang Malaysia,” katanya yang antara merujuk kepada tarikh kemerdekaan negara dan Hari Kebangsaan.

Koleksi itu juga adalah satu dedikasi dan aspirasi Rizman Ruzaini buat beberapa tokoh pahlawan Melayu termasuk Penghulu Naning, Datuk Dol Said, Tok Janggut, Datuk Bahaman dan Mat Kilau.

Acara gilang-gemilang pembukaan Sukan Olimpik 2024 akan berlangsung di Sungai Seine, Paris dan akan dibarisi oleh 26 atlet.

Tumpuan Malaysia juga menyasarkan atlet seperti Datuk Azizulhasni Awang, Lee Zii Jia sebagai menjadi harapan utama untuk mencapai sekurang-kurangnya satu pingat emas.

Kontinjen Malaysia akan menggalas cabaran negara pada temasya sukan berprestij itu menerusi penyertaan dalam sembilan jenis sukan iaitu akuatik terjun, akuatik renang, pelayaran, menembak, berbasikal trek, berbasikal lebuh raya, angkat berat, badminton, golf, memanah dan olahraga. - Astro Awani

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!