Pemilihan Bersatu Terengganu sengit

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu sengit apabila tujuh daripada lapan bahagian bertanding bagi merebut jawatan ketua bahagian.

Paling mencuri tumpuan, tiga bekas pemimpin UMNO yang turut mencuba nasib dalam pemilihan kali ini iaitu Datuk Rosol Wahid, Datuk Rosli Mat Hassan dan Khazan Che Mat.

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu dan merupakan bekas Setiausaha UMNO Terengganu akan dicabar oleh bekas calon Bersatu Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil, Zamani Mamat dan Laisani Dollah bagi jawatan Ketua Bersatu Bahagian Hulu Terengganu.

Bekas Ahli Parlimen dan Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan pula akan dicabar dalam pertandingan tiga penjuru bagi merebut jawatan Ketua Bersatu Bahagian Dungun.

Beliau akan berdepan dengan Datuk Abdul Aziz Ismail yang juga bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Dungun dan Mohd Zaid Sulaiman.

Bekas Exco Kerajaan Negeri, Khazan Che Mat pula akan bertanding satu lawan satu dengan Mohamad Jamil bagi merebut jawatan Ketua Bersatu Bahagian Kuala Nerus.

Di Kuala Terengganu pula, Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Zulkifli Mohamad yang juga penyandang ketua bahagian bakal berdepan dengan perlawanan tiga penjuru.

Beliau akan dicabar Ketua Penerangan Bersatu Kuala Terengganu, Badrolhisham Shafie dan Nordin Kamaruddin.

Artikel Berkaitan:

Turut mencuri tumpuan, penyandang Ketua Bersatu Bahagian Kemaman, Datuk Seri Wan Marzuki Wan Sembok yang akan mempertahankan jawatan itu, akan ditentang Ketua Armada Bersatu negeri, Syaiful Irfan Anang.

Di Setiu dan Besut pula berlaku pertandingan dua penjuru, melibatkan Yusop Majid (penyandang) dan Datuk Dr Fauzi Musa di Setiu dan Mohd Husaimi Hussin (penyandang) dan Wan Nazari Wan Jusoh di Besut.

Pengerusi Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris pula menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Bersatu Bahagian Marang.

Datuk Razali Idris (Marang)
Datuk Razali Idris (Marang)

Sementara itu, Razali berkata, kesemua senarai calon yang menawarkan diri untuk bertanding akan dihantar ke jawatankuasa pemilihan parti untuk proses saringan.

"Calon yang melepasi proses saringan sahaja yang layak untuk bertanding pada mesyuarat pemilihan peringkat bahagian, bulan depan," katanya pada sidang media di Pejabat Bersatu Negeri Terengganu di sini hari ini.