Sasaran 25 peratus penurunan harga jalur lebar tercapai

gobind
gobind
A
A
A

PETALING JAYA – Kementerian Komunikasi dan Multimedia telah mencapai sasaran menurunkan harga tetap jalur lebar sebanyak 25 peratus pada akhir tahun lepas.

Menterinya Gobind Singh Deo berkata kejayaan itu adalah hasil pelaksanaan Standard Mandatori bagi Harga Akses (MSAP) oleh kerajaan, yang menjurus kepada harga jalur lebar tetap yang lebih rendah.

"Sasaran itu berjaya, dengan kebanyakan telco (syarikat telekomunikasi) sudah menurunkan harga jalur lebar masing-masing.

"Sebagai contoh, Celcom, Maxis dan Time masing-masing menurunkan harga sebanyak 30 hingga 65 peratus," katanya kepada pemberita selepas melancarkan pejabat korporat baharu Axiata, di sini hari ini.

Dalam ucapannya sebelum itu, Gobind berkata akses kepada Internet, berwayar atau tanpa wayar, membuka keseluruhan dunia kepada pengguna.

"Saya percaya ini merupakan kaedah paling berkesan untuk mengupayakan rakyat. Ia juga merupakan asas misi kita untuk menjadi negara digital,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: