Tiada kes koronavirus di Melaka, Negeri Sembilan

Tular HTJS ada menerima kes koronavirus
Tular HTJS ada menerima kes koronavirus
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri hari ini menafikan ada kes koronavirus di Melaka seperti yang tular di media sosial sejak semalam.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah Melaka, Low Chee Leong berkata, walaupun pada awalnya seorang kanak-kanak lelaki warga China berusia tujuh tahun yang didakwa mempunyai simptom koronavirus namun sudah disahkan negatif setelah menjalani ujian di Hospital Kuala Lumpur tiga hari lepas.

"Kanak-kanak itu mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Ayer Keroh kerana demam pada 24 Januari lalu dan kemudiannya dia diminta pihak klinik merujuk ke Hospital Melaka tetapi keluarga enggan berbuat demikian.

"Bagaimanapun, kita dimaklumkan keluarga kanak-kanak itu telah membawanya ke Hospital Kuala Lumpur pada hari sama untuk mendapatkan rawatan dan menjalani ujian pengesahan tetapi negatif virus itu," katanya.

Tambahnya, rakyat di negeri ini diharap tidak mudah percaya dan panik dengan sebarang berita yang ditularkan berkaitan koronavirus sehingga disahkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

"Di peringkat negeri juga, kita akan bekerjasama dan memaklumkan kepada KKM sekiranya terdapat kes koronavirus di Melaka.

"Bagaimanapun, kita sentiasa 'alert' dengan perkembangan kes ini dan mengambil langkah berjaga-jaga," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan turut menafikan terdapat kes berkenaan di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) seperti yang ditularkan.

Artikel Berkaitan:

Perkara itu disahkan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zainuddin Mohd Ali.

Beliau menasihatkan masyarakat menyemak maklumat terkini berkaitan virus itu yang akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

Semalam, tular melalui media sosial terutama aplikasi WhatApp kononnya ada kes koronavirus di Melaka dan HTJS Negeri Sembilan sehingga mengundang pelbagai reaksi masyarakat yang panik dengan keadaan tersebut.