China perlu serius elak penularan koronavirus

Wabak koronavirus menimbulkan kebimbangan kepada seluruh dunia kerana ia menyamai SARS yang meragut nyawa lebih 650 penduduk seluruh China dan Hong Kong sekitar 2002 dan 2003. - Foto AFP
Wabak koronavirus menimbulkan kebimbangan kepada seluruh dunia kerana ia menyamai SARS yang meragut nyawa lebih 650 penduduk seluruh China dan Hong Kong sekitar 2002 dan 2003. - Foto AFP
A
A
A

PENULARAN wabak koronavirus di Wuhan, China kini bagaikan tidak terkawal lebih-lebih lagi ketika ramai rakyatnya melakukan perjalanan ke segenap pelosok negara itu untuk menyambut Tahun Baru Cina pada Sabtu lalu.

Hanya dalam tempoh seminggu, wabak berkenaan bukan sahaja dikesan merebak ke kawasan luar Wuhan tetapi juga ke beberapa negara lain termasuk Malaysia.

Setakat jam 6 petang semalam, ia mencatatkan sekurang-kurangnya 56 kematian dan lebih 2,000 mangsa dijangkiti.

Mangsa-mangsa terbabit, sama ada rakyat China yang bukan penduduk asal Wuhan atau pelancong asing, disahkan terkena jangkitan ketika berada di Wuhan.

Pemerintah China dengan tegas mengambil langkah awal menghalang penduduk Wuhan meninggalkan daerah mereka di samping menggantung sementara semua penerbangan dan perkhidmatan kereta api keluar dari Wuhan.

Sehingga hari ini, pakar-pakar perubatan dunia belum mempunyai jawapan mengenai kejadian penularan virus berkenaan walaupun ia dikatakan tercetus akibat jangkitan virus daripada kelawar ke ular dan seterusnya kepada manusia.

Melihat situasi terkini, wabak itu menimbulkan kebimbangan kepada seluruh dunia kerana ia seakan-akan menyamai Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang meragut nyawa lebih 650 penduduk seluruh China dan Hong Kong sekitar 2002-2003.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) masih menyerahkan sepenuh tanggungjawab kepada China. Biarpun China mengasingkan lebih 40 juta penduduk di Wuhan dan bandar berhampiran, namun WHO belum menganggap wabak itu sebagai darurat kesihatan dunia.

Artikel Berkaitan:

Seluruh dunia amat mengharapkan China dapat mengambil pengajaran agar sejarah hitam SARS tidak berulang.

Sikap ketidaktelusan pemerintah China dulu ketika menangani wabak SARS akhirnya memakan diri sendiri.

Segala langkah keselamatan dan pencegahan perlulah dibuat oleh China dengan lebih telus dan bertanggungjawab agar masyarakat antarabangsa dapat memperoleh maklumat dengan cepat dan terperinci.

Kita berharap pihak berkuasa China dapat melakukan langkah-langkah pencegahan lebih drastik bagi menjamin kesihatan penduduk seluruh dunia.