Kerajaan tidak benarkan keluar KWSP lagi

Gambar kecil: Ahmad Maslan
Gambar kecil: Ahmad Maslan
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan memberi bayangan bahawa kerajaan tidak akan membenarkan sebarang pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Beliau berkata, ini kerana data median simpanan dikeluarkan oleh KWSP menunjukkan baki simpanan ahli bawah 55 tahun telah menurun pada Disember 2022 berbanding April 2020.

"Data penting untuk makluman semua. Median baki tinggal RM3,302 (Bumiputera lain-lain) dan RM 5,529 (Melayu). Jika ingin popular, lulus keluarkan semua.

"Namun ini Kerajaan Perpaduan yang bertanggungjawab untuk masa depan rakyat. Sudah empat kali dibenarkan.

"Jumlah RM145 bilion. Maaf, maka carilah kaedah lain," katanya menerusi Twitter pada Selasa.

Terdahulu, Ahmad Maslan turut berkongsi data median simpanan pencarum KWSP bawah 55 tahun berdasarkan kaum.

No Image Caption

Data itu menunjukkan median simpanan pencarum daripada kalangan Melayu pada April 2020 adalah RM16,938. Angka itu berkurang kepada RM5,529 pada Disember 2022.

Ini bersamaan dengan penurunan sebanyak RM11,409, sekali gus merupakan penurunan paling ketara.

Sebelum ini, kerajaan memperkenalkan Fasiliti Sokongan Akaun Dua (FSA2) yang dilaksanakan dalam dua fasa bermula 7 April bagi fasa satu dan ahli yang memenuhi kriteria kelayakan boleh memohon melalui bank yang mengambil bahagian iaitu MBSB Bank dan Bank Simpanan Nasional.

Ahli yang layak berumur 40 tahun ke atas boleh memohon semasa fasa satu, tertakluk kepada kesediaan bank yang mengambil bahagian, manakala tarikh mula fasa dua untuk ahli di bawah umur 40 tahun akan diumumkan dalam masa terdekat, katanya.

Dengan kemudahan berkenaan, semua ahli KWSP warganegara Malaysia di bawah umur 55 tahun boleh membuat notis awal untuk pengeluaran umur 50 tahun atau 55 tahun, dengan syarat mempunyai jumlah minimum RM3,000 dalam Akaun Dua KWSP.

Jumlah pembiayaan maksimum telah ditetapkan pada RM50,000, tertakluk kepada baki Akaun Dua KWSP, dengan tempoh pembayaran balik sehingga 10 tahun.