X

Kindly register in order to view this article
!

Bergelap kerana tunggakan bil RM2,126.85

Harith Denial (kiri) membantu Harithah Zayani menyiapkan kerja sekolah sambil ditemani cahaya lilin kerana ketiadaan bekalan elektrik di rumah mereka.
A
A

TUMPAT - Kesempitan hidup yang dialami seorang ibu tunggal bersama empat anaknya menyebabkan mereka terpaksa hidup bergelap kira-kira dua tahun lalu kerana tidak mampu membayar bil elektrik yang tertunggak sehingga mencecah RM2,126.85

Lebih menyedihkan rumah pusaka didiami Dahalia Said, 39, dan keluarga di Kampung Berangan Masjid di sini juga sudah usang dengan dinding dan atap di bahagian dapur berlubang dan hampir runtuh dimakan anai-anai.

Katanya, anak-anak menggunakan lilin untuk menyiapkan kerja sekolah manakala peralatan elektrik lain seperti peti sejuk dan mesin basuh sudah lama tidak berfungsi.

Dahalia yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya dengan pendapatan kasar RM1,100 membelanjakan wang berkenaan untuk menyara empat anak, Harith Denial Zamizam, 18, sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Harith Daiyan Zamizam, 16, pelatih di Giat Mara Tumpat.

Dahalia (kanan), Harithah Zayani dan Harith Denial duduk di tangga dapur rumah mereka yang dindingnya hampir roboh akibat reput dan dimakan anai-anai.
Dahalia (kanan), Harithah Zayani dan Harith Denial duduk di tangga dapur rumah mereka yang dindingnya hampir roboh akibat reput dan dimakan anai-anai.

Dua lagi, Harithah Zayani, 13, bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Berangan dan Husna Izara Nordin, 8, bersekolah di Sekolah Kebangsaan Berangan 1, Tumpat.

“Gaji yang saya dapat setiap bulan digunakan untuk makan dan minum kami sekeluarga. Biasanya makan nasi goreng dengan telur hancur sahaja. Kadang-kadang ada lauk ikan dan jarang juga dapat makan ayam," katanya ketika ditemui di rumahnya.

Menurut Dahalia, kelengkapan persekolahan dan wang saku anak-anak juga menggunakan wang gaji tersebut dan anaknya juga terpaksa meminjam baju sukan daripada sepupu mereka kerana tidak mampu membeli pakaian itu.

"Kali terakhir saya menjelaskan bil sebanyak RM477 pada 3 Februari 2016 dan selepas itu tidak mampu lagi membayarnya sehinggalah kemudahan itu dipotong pada tahun 2018.

Dahalia menunjukkan bil elektrik dengan jumlah tunggakan RM2,126.85 yang tidak mampu untuk dijelaskan.
Dahalia menunjukkan bil elektrik dengan jumlah tunggakan RM2,126.85 yang tidak mampu untuk dijelaskan.

“Kalau makan minum pun ikat perut, macam mana saya nak jelaskan bil yang mencecah lebih RM2,000 itu. Saya memang tidak ada duit. Dinding dan rumah yang roboh pun tidak dapat dibaiki kerana tidak ada wang dan hanya ditutup dengan kanvas bagu mengelak dimasukki air hujan.

“Ada jiran yang kesian pada kami membantu dengan membenarkan kami menyambung elektrik daripada rumahnya sejak tiga minggu lalu tetapi saya tidak tahu sampai bila hendak meminjam dari jiran dan sudah tentu saya perlu bayar kepadanya,” katanya.

Dahalia juga berharap dapat menyediakan rumah yang selesa untuk anak-anaknya yang sedang membesar.

Bagi mereka yang ingin membantu keluarga ini boleh salurkan ke Bank Islam 03036020796768 atau hubungi 011-5111 5101.

Dinding dan atap rumah yang berlubang cuba ditutup dengan kanvas bagi mengelak dimasuki air hujan.
Dinding dan atap rumah yang berlubang cuba ditutup dengan kanvas bagi mengelak dimasuki air hujan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus