Wanita UMNO mahu kerajaan halang kemasukan pelancong China

 Noraini Ahmad
Noraini Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Wanita UMNO mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) segera menghalang kemasukan pelancong China khususnya dari Wuhan bagi membendung penularan wabak coronavirus.

Ketuanya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, kerajaan seharusnya lebih prihatin dan mementingkan nyawa rakyat Malaysia memandangkan rekod telah menunjukkan ada kematian kerana virus terbabit.

"Adakah kerajaan lebih mementingkan Tahun Melawat Malaysia 2020 berbanding nyawa rakyat negara ini? Di kala negara-negara jiran telah pun mengambil tindakan menghalang pelancong China memasuki negara mereka, Malaysia pula seolah-olah membuka pintu seluas-luasnya kepada pelancong China.

"Harus diingat, ini bukan isu kecil dan ia adalah isu yang membabitkan nyawa manusia. Sepatutnya kerajaan bersikap tegas dengan mengambil tindakan menutup pintu kepada pelancong China," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Noraini, walaupun kerajaan telah mengambil langkah sewajarnya dengan membuat pemeriksaan di pintu masuk negara, namun sejauh mana langkah itu berkesan dan mampu membendung penularan wabak terbabit masih dipersoalkan.

"PH perlu berfikir, sebagai kerajaan perlu mendahulukan kepentingan rakyat, bukannya pelancong luar. Ibarat kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan," katanya.

Artikel Berkaitan: