Tempoh setahun dapatkan tauliah ajar Islam di Perak munasabah - Saarani

Saarani
Saarani
A
A
A

IPOH - Tempoh setahun bagi mendapatkan Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Perak adalah mencukupi dan munasabah, kata Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Saarani berkata, pengajaran agama tugas yang sangat penting dan berat kerana melibatkan persoalan akidah serta hukum fiqah.

"Pihak Jabatan Mufti Negeri Perak perlu berhati-hati dalam menilai calon pemegang tauliah yang benar-benar berkelayakan untuk diberi tauliah mengajar," katanya pada sesi soal jawab lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian menjawab soalan asal Mohamad Husairi Ariffin (PN-Kenering) yang mahu penjelasan sama ada Jabatan Mufti Negeri Perak dapat memendekkan tempoh mengeluarkan keputusan peperiksaan bagi mendapatkan tauliah yang diambil kurang dari setahun serta tempoh paling cepat keputusan mampu diperoleh.

Saarani berkata, antara prosesnya ialah pemohon perlu mengisi borang permohonan Tauliah Mengajar Negeri Perak dengan lengkap dan disokong Pegawai Tadbir Agama Daerah sebelum calon perlu menduduki ujian bertulis bagi Peperiksaan Tauliah Mengajar Negeri Perak.

Ujian bertulis itu melibatkan tujuh subjek iaitu Tauhid, Fiqah, Sirah, Hadis, Tafsir, Aliran pemikiran dan Tasawuf yang hanya diadakan sekali setahun dan kira-kira 150 hingga 250 calon pemegang tauliah menduduki ujian itu sebelum ini.

"Proses semakan kertas jawapan bagi ujian bertulis akan dilaksanakan oleh para penggubal soalan yang terdiri AJK (ahli jawatankuasa) Fatwa Negeri Perak dan AJK Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perak yang keanggotaannya telah diperkenan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak (Sultan Nazrin Shah)," katanya.

Beliau berkata, proses itu mengambil masa sekitar tiga hingga empat bulan untuk penelitian demi menjaga kualiti pemegang tauliah.

Artikel Berkaitan:

Saarani berkata, berdasarkan peraturan, senarai calon yang lulus ujian bertulis perlu dibentang dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam yang bersidang tiga kali setahun untuk diperakukan.

Setelah itu calon-calon terbabit akan dipanggil untuk ujian lisan iaitu temu duga dengan panelnya terdiri AJK Fatwa Negeri Perak dan AJK Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perak.

"Perkara berkaitan hukum-hakam khususnya akidah dan fikah pemohon perlu kepada penelitian pakar untuk membuat penilaian ilmu calon pemegang tauliah," katanya.

Calon berkenaan turut dinilai dari segi aspek psikologi, interpersonal dan kemahiran mendidik ilmu agama kepada umat Islam. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!