Koronavirus: Jangkitan merebak, angka kematian meningkat di China

Media China melaporkan jumlah mereka yang dijangkiti virus itu di China kini 1,287 kes dengan 41 kematian dan 237 berada dalam keadaan kritikal.
Media China melaporkan jumlah mereka yang dijangkiti virus itu di China kini 1,287 kes dengan 41 kematian dan 237 berada dalam keadaan kritikal.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga warganegara China yang dikuarantin di Johor Bahru menjadi kes pertama koronavirus dilaporkan di Malaysia dengan penularan penyakit itu telah pun merebak ke Perancis, Australia dan Amerika Syarikat dalam jumlah kes yang masih rendah.

Ketika ketiga-tiga warganegara China di Malaysia itu kini dikuarantin di Hospital Sungai Buloh di sini, di China sambutan Tahun Baru Cina atau festival musim bunga, disambut muram dengan jumlah mereka yang dijangkiti semakin meningkat dengan bandar yang terlibat terus ditutup untuk dilawati.

Media China melaporkan jumlah mereka yang dijangkiti virus itu di China kini 1,287 kes dengan 41 kematian dan 237 berada dalam keadaan kritikal.

Mengikut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China, daripada 41 kematian itu, 39 berlaku di Provinsi Hubei, tengah China; seorang di Provinsi Hebei, utara China dan seorang di Provinsi Heilongjiang, timur laut negara itu.

Selain Malaysia, satu kes juga telah dilaporkan di Australia hari ini, manakala Perancis mengesahkan tiga kes koronavirus pada Jumaat, yang menandakan penyakit itu kini telah sampai ke Eropah.

Singapura dan Amerika Syarikat telah mencatatkan kes koronavirus lebih awal.

Kesemua yang dijangkiti itu merupakan warganegara China ataupun mereka yang telah ke kawasan dijangkiti di China, baru-baru ini.

Dalam mengekang penularan virus ini ke tempat-tempat lain, China telah mengenakan sekatan lawatan dari dan ke tempat yang terjejas seperti bandar Wuhan, Huanggang, Ezhou, Chibi, Xiantao, Qianjiang, Zhijiang and Lichuan.

Artikel Berkaitan:

Dilaporkan, China mengambil tindakan drastik menyiapkan sebuah hospital dengan 1,000 katil, dalam tempoh seminggu bagi menampung peningkatan mereka yang dijangkiti.

Pihak berkuasa di Malaysia yang menyedari kemungkinan akan berlakunya lebih banyak kes koronavirus telah mengambil tindakan mengetatkan proses saringan.

Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia mengambil tindakan tambahan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dalam menjalankan saringan kepada penumpang antarabangsa di semua lapangan terbangnya di seluruh negara sejak berlakunya koronavirus.

Perdana Menteri ketika ditanya mengenai laporan kes koronavirus pertama di Malaysia berkata, walaupun pada masa ini kerajaan tidak bercadang untuk berhenti menerima pelancong dari China datang ke negara ini, mereka akan menjalani saringan di pintu masuk.

Beliau menasihatkan rakyat Malaysia untuk mengambil langkah berjaga-jaga termasuk memakai penutup mulut dan hidung ketika berada di tempat awam yang sesak.

Menurut Perdana Menteri, masalah dihadapi oleh negara terlibat dalam mengawal penularan kerana terdapat banyak pergerakan orang dan barang-barang merentasi sempadan di seluruh dunia.

Rakyat Malaysia di Wuhan, China, pusat bermulanya penularan itu, sehingga kini berada dalam keadaan selamat dan tidak ada laporan mendapati ada di antara mereka dijangkiti virus tersebut.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya dalam mengesahkan perkara ini berkata, Kedutaan Malaysia di China sentiasa memantau perkembangan di sana.

Sementara itu, ketika mengumumkan kes koronavirus pertama di Malaysia hari ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, seorang rakyat tempatan telah diasingkan di Hospital Kuala Lumpur, sementara menunggu keputusan ujian makmal kerana dia merupakan salah seorang daripada 11 individu yang tidak sihat selepas melawat China.

Dzulkefly juga memaklumkan, tiga yang didapati positif virus tersebut merupakan ahli keluarga kepada warganegara China berusia 66 tahun dari Wuhan yang didapati dijangkiti virus itu di Singapura.

Ketiga-tiga mereka adalah isteri kepada lelaki 66 tahun itu, (65 tahun) dan cucu mereka berusia 2 dan 11 tahun. - Bernama