Ada agenda cuba pecah-belahkan masyarakat: MB Selangor

Amirudin - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Amirudin - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mendakwa beliau menyedari terdapat beberapa kumpulan dan individu yang mempunyai agenda tertentu menggunakan perbezaan etnik sebagai jalan untuk memecah-belahkan masyarakat.

Bagaimanapun, beliau menegaskan yakin rakyat negeri ini mampu mengetepikan pengaruh berkenaan.

“Saya yakin bahawa rakyat Selangor mampu mengetepikan pengaruh begini dan ‘take the higher road’ apabila berdepan dengan perbuatan tidak bertanggungjawab.

“Kerencaman negeri Selangor sebagai negeri contoh di Malaysia perlu dipelihara demi anak cucu kita,” katanya menerusi kenyataan ucapan Selamat Tahun Baru Cina 2020 yang dimuat naik di akaun Facebooknya hari ini.

Terdahulu Amirudin berkata, langkah dilaksanakan kerajaan negeri akan mengurangkan beban kewangan rakyat sekali gus menjadi platform kepada semua untuk menjadikan tahun 2020 cemerlang.

Menurutnya, kerajaan negeri mempunyai iltizam sentiasa berdisiplin dan rajin bekerja demi memastikan tiada sesiapapun ditinggalkan dalam meningkatkan daya ekonomi negeri.

“Tahun ini saya bertekad untuk meningkatkan lagi prestasi ekonomi negeri Selangor sekali gus memastikan aspek sosial khususnya pendidikan dan keselamatan dijaga.

“Dalam Belanjawan Selangor 2020, kerajaan negeri memperuntukkan 5,000 kamera litar tertutup (CCTV) pengimbas wajah ataupun ‘facial recognition’ yang akan dipasang di kawasan ‘hotspot’ sebagai langkah mengurangkan jenayah serta meningkatkan keselamatan di seluruh negeri,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, bidang pendidikan juga diberi penekanan dan Program Tuisyen Rakyat Selangor akan memberi manfaat kepada kira-kira 10,000 pelajar.

Katanya, program Selangor Bitara juga akan memfokus bantuan kepada pelajar Tingkatan Empat yang cemerlang untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.

“Selain itu Inisiatif Peduli Rakyat seperti Skim Peduli Sihat diteruskan dan ditambah dengan bantuan bagi penyakit Tuberculosis serta program pencegahan penyakit denggi,” katanya.

Amirudin sebelum itu mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina 2020 kepada seluruh masyarakat Tionghua khususnya di negeri ini.

Menurutnya, sambutan kali ini bermakna kepada semua kerana ia memberi peluang untuk mengeratkan silaturahim antara rakan dan keluarga.

“Sempena Tahun Baru Cina ini, saya mengajak seluruh rakyat untuk menghargai kerencaman budaya dan kepercayaan di negeri kita dan memeliharanya demi kemakmuran Selangor,” katanya.