X

Kindly register in order to view this article
!

Saringan suhu di pusat pemeriksaan Woodlands, Tuas mulai hari ini

ICA berkata, mereka yang tiba di pusat pemeriksaan darat perlu menjalani saringan suhu badan yang dijalankan oleh pembantu kesihatan di pusat terbabit. - Foto AFP
A
A

SINGAPURA - Rakyat Malaysia yang memasuki Singapura perlu berwaspada kerana saringan suhu badan akan dilaksanakan di pusat pemeriksaan darat Woodlands dan Tuas bermula tengah hari ini.

Mengikut Pihak Berkuasa Imigresen dan Pemeriksaan Singapura (ICA), perkara ini dilaksanakan berikutan berlakunya wabak koronavirus di Wuhan, China dan merebak ke bandar dan negara lain di samping jangkaan peningkatan aliran trafik bersempena cuti Tahun Baru Cina.

ICA dalam laman sesawangnya berkata, mereka yang tiba di pusat pemeriksaan darat perlu menjalani saringan suhu badan yang dijalankan oleh pembantu kesihatan di pusat terbabit.

“Mereka yang disyaki akan dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan selanjutnya,” katanya.

Saringan suhu badan itu akan dilaksanakan secara progresif untuk kesemua jenis kenderaan yang tiba - bas, kereta api, kereta, motosikal, lori - dan kesemua mereka terbabit dinasihatkan mengikuti arahan diberikan oleh pegawai ICA.

Dengan bas: Penumpang akan disaring di barisan bas atau balai ketibaan bas, sebelum kaunter imigresen. Pemandu bas akan disaring di pusat pemeriksaan keselamatan.

Dengan kereta api: Penumpang akan disaring di barisan platform sebelum memasuki balai ketibaan kereta api untuk proses pelepasan imigresen.

Dengan kereta: Penumpang dan pemandu dikehendaki menurunkan tingkap kenderaan mereka untuk saringan suhu badan di pusat pemeriksaan keselamatan sebelum kaunter imigresen.

Dengan motosikal: Penunggang dikehendaki menanggalkan topi keledar mereka untuk saringan di kawasan pemeriksaan keselamatan selepas kaunter imigresen.

Dengan lori: Pemandu akan disaring di platform kargo atau kaunter imigresen.

ARTIKEL BERKAITAN: Koronavirus berbahaya, mudah merebak

ICA berkata, pada cuti Tahun Baru Cina, aliran trafik dijangkakan sesak antara 25 dengan 28 Januari.

“Kelewatan adalah dijangkakan dan mereka dinasihatkan untuk memeriksa keadaan trafik sebelum memulakan perjalanan”, kata ICA

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, Pihak berkuasa Pelabuhan dan Maritim Singapura (MPA) berkata ia telah melaksanakan saringan suhu badan di kesemua pusat pemeriksaan laut, termasuk feri dan terminal kapal. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus