Judi online: Tiga rumah teres dua tingkat diserbu

Mohamad (tiga dari kiri) menunjukkan antara barangan yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini hari ini.
Mohamad (tiga dari kiri) menunjukkan antara barangan yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Taktik sindiket perjudian dalam talian didalangi warga China yang menjalankan aktiviti berkenaan di kawasan perumahan berpagar dan mempunyai pengawal keselamatan terbongkar apabila polis menyerbu tiga buah rumah teres dua tingkat di Aviva Green Seremban 2 di sini semalam.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, dalam serbuan oleh pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan pada jam 4.30 petang berjaya menahan 34 warga China termasuk sembilan wanita berusia dalam lingkungan 25 hingga 32 tahun.

Menurutnya, siasatan mendapati sindiket tersebut mula beroperasi sejak 3 Januari lalu dan ketiga-tiga rumah berkenaan disewa dengan bayaran bulanan RM4,500.

"Sindiket yang menjadikan kawasan rumah berpagar dan mempunyai pengawal keselamatan di jalan masuk dan keluar merupakan kes pertama berlaku di Negeri Sembilan bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan.

"Kebiasaannya rumah berpengawal agak sukar untuk kita syaki melainkan mendapat maklumat daripada penduduk," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini hari ini.

Beliau berkata, kesemua rumah berkenaan turut dilengkapi dengan kemudahan Wifi yang baru dipasang dua minggu bagi menjalankan kegiatan judi dalam talian melibatkan warga China.

Mohamad berkata, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan menggunakan aplikasi WhatsApp dan QQ untuk menerima 'betting' daripada pemain.

"Kita percaya pemainnya hanya warga China berdasarkan nombor talian telefon yang digunakan dalam aplikasi berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Analisa awal dibuat oleh pegawai dari Unit Siasatan Jenayah Siber, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman pada komputer yang dirampas juga telah mengesahkan kegiatan itu melibatkan pemain warga China.

"Polis masih menyiasat kenapa sindiket ini memilih negara kita sebagai tempat operasi dan kini cuba masuk ke Negeri Sembilan sedangkan pemain mereka dari negara mereka sendiri," katanya.

Sementara itu katanya, hasil serbuan dilakukan, polis telah merampas 17 buah komputer, 76 unit telefon bimbit, lima unit pasport negara China, sebuah kereta jenis Toyota Velfire dan barang kes lain.

Kata Mohamad, kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen kerana melanggar syarat pas lawatan dan tiada dokumen perjalanan.

"Polis percaya terdapat juga kesalahan lain dilakukan iaitu mengikut Akta Rumah Perjudian Terbuka dan siasatan lanjut sedang dilakukan," katanya.