Pegawai polis didakwa terima rasuah RM6,000

Seorang pegawai polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua tuduhan menerima suapan berjumlah RM6,000 pada 2017 lalu.
Seorang pegawai polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua tuduhan menerima suapan berjumlah RM6,000 pada 2017 lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM6,000, tiga tahun lalu.

Tertuduh berusia 38 tahun itu didakwa melakukan kesalahan terbabit sebagai dorongan untuk menutup kes yang disiasat di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan pertama, penjawat awam yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Gombak ketika itu didakwa menerima rasuah RM5,000 daripada seorang individu di sebuah restoran di Taman Perindustrian Ehsan Jaya, pada jam1 tengah hari, 30 November 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta sama.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima suapan sebanyak RM1,000 daripada individu sama di Maybank cawangan Taman Maluri di sini.

Tertuduh didakwa mengikut kesalahan di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta sama.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, jika disabitkan kesalahan, tertuduh berdepan dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan:

Hakim Azman Ahmad menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 dan pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melapor diri ke pejabat SPRM setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 24 Februari depan sebagai sebutan kes.